'Tatu Allah' di dada artis: KDN minta penjelasan Star

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memanggil akhbar harian Inggeris The Star untuk memberi penjelasan berhubung penyiaran gambar seorang penyanyi wanita Amerika Syarikat yang mendedahkan bahagian atas dadanya, yang tertera tatu perkataan "Allah" dalam akhbar itu.

NONETimbalan Menteri berkenaan Datuk Lee Chee Leong berkata KDN memanggil Pengarang Urusan, Ketua Pengarang Berita dan Pengarang Kanan The Star petang semalam untuk memberi penjelasan mengenai tindakan akhbar itu menyiarkan gambar berkenaan dalam edisi Isnin akhbar milik MCA itu.

Beliau berkata akhbar itu juga akan diberi surat tunjuk sebab untuk memberi penjelasan bertulis dalam masa seminggu kepada KDN.

"Tindakan susulan akan dibuat berdasarkan kepada penjelasan yang diberikan (akhbar itu kepada KDN)," katanya dalam satu kenyataan, malam semalam.

Dalam ruangan muziknya, The Star menyiarkan gambar penyanyi "funk", "hip-hop" dan "soul", Erykah Badu, 40, yang menunjukkan wajah dan bahagian atas dadanya.

Sebahagian dadanya terdedah dan tertera pelbagai tatu, termasuk perkataan "Allah", di bahagian sisi kiri dan kanan dadanya berhampiran ketiak.

Artikel dan gambar yang disiarkan itu sempena konsert penghibur yang digelar "Ratu Neo-Soul" berkenaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, esok.

NONESelain dua tatu kalimah Allah, simbol lain pada dada dan lengannya yang terdedah juga memperlihatkan huruf-huruf dalam bahasa Yahudi dan simbol seakan-akan piramid.

Akhbar web PAS Harakahdaily, dengan memetik pandangan seorang pembacanya, hari ini mempersoalkan tindakan akhbar itu yang "seolah-olah menghina Islam".

Lidah rasmi parti Islam itu juga mempersoalkan kehadiran penyanyi  itu mengadakan konsert di negara ini dan menuntut pihak berkuasa  memantaunya.

Badu, yang berasal dari Dallas, Texas, pernah memenangi anugerah Grammy.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.