Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Johor masih 'tiang seri' Umno
Diterbitkan:  Mar 6, 2012 6:12 PM
Dikemaskini: 10:16 AM

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau yakin Johor akan terus mengekalkan kedudukannya sebagai "tiang seri" Umno dan kubu kuat Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-13 yang akan datang walaupun berhadapan dengan cabaran Pakatan Rakyat.

NONE Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden Umno berkata sentimen pengundi di Johor terhadap BN pada ketika ini sentiasa positif.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis jalinan mesra rakyat dan perasmian bangunan Pejabat Pelajaran Daerah Kulaijaya di Bandar Indrapura di Kulaijaya yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman.

Sebelum itu, Muhyiddin yang dalam rangka lawatan sehari ke Johor, menghadiri mesyuarat tertutup dengan pemimpin Umno dan BN Johor.

Muhyiddin berkata, Abdul Ghani sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan BN Johor telah memberikan taklimat panjang lebar tentang persiapan parti di dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya Abdul Ghani telah melawat setiap kawasan Parlimen di Johor dan berkampung di situ antara dua dan tiga hari untuk meneliti secara terperinci keadaan di peringkat akar umbi dalam usaha untuk mengekalkan sokongan terhadap BN.

Beliau menyifatkan langkah yang diambil oleh Menteri Besar itu sebagai tepat.

"Saya berpuashati dengan persiapan yang dilakukan di Johor, namun kita tidak boleh leka. Kita memohon setiap bahagian Umno dan BN supaya memberi tumpuan kepada kawasan masing-masing dan perkemas jentera serta perpaduan anggota," katanya.

Muhyiddin berkata pengundi adalah penting dan setiap usaha dilaksanakan adalah untuk menjaga kepentingan mereka sama ada ia melibatkan kebajikan, pendidikan atau ekonomi, sebagaimana yang telah dilakukan oleh BN selama ini.

"Kita yakin mereka (pengundi) akan faham apabila membuat keputusan (mengundi)," katanya.

- Bernama

ADS