Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TERAS: Buang sisa Lynas ke Sungai Lembing kerja gila
Diterbitkan:  Mar 8, 2012 8:22 AM
Dikemaskini: 12:27 AM

Cadangan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob agar sisa kilang memproses nadir bumi milik Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) di Gebeng, Kuantan dibuang di Sungai Lembing dibantah keras oleh NGO, Teras Pengupayaan Melayu (TERAS).

protest israel penang 020109 teras president azmi abdul hamid Sambil menyifatkan cadangan itu sebagai tindakan gila, presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid ( kiri ) dalam satu kenyataan media berkata jika ini benar-benar dilakukan ia adalah jenayah alam sekitar yang sepatutnya dihalang malah diambil tindakan undang-undang yang tegas tanpa kompromi.

“Amat jahil bagi sesiapa yang menganggap membuang sisa toksid seperti bahan radioaktif Lynas ke dalam sungai tidak merosakkan alam sekitar.

“Ekologi sungai yang kini sangat sensitif dan bakal punah akibat pembuangan sisa radioaktif, pasti akan mengundang malapetaka yang tidak boleh dirawat lagi,” katanya.

Menurut Mohd Azmi, walaupun cadangan menteri besar Pahang itu dikatakan adalah di tapak lombong yang sudah tidak digunakan, namun interaksi air bawah tanah yang akhirnya akan bersambung ke sungai  pasti akan memberi kesan yang berbahaya dalam jangka panjang.    

Katanya, TERAS bukan sahaja mengambil kira soal kehidupan dan punca pendapatan penduduk Sungai Lembing yang bakal terjejas itu tetapi yang lebih penting ialah soal persekitaran yang akan bakal rosak dan tidak boleh dipulih lagi jika ia menjadi tapak buangan sisa radioaktif.

“Adakah pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar dirujuk dalam hal ini? Apakah undang-undang perlindungan sungai akan diketepikan begitu sahaja?

“Ini juga akan memperlihatkan slogan ‘Cinta Sungai Kita’ yang selama ini dicanang oleh JPS hanya menjadi suatu momokan dan bahan ejekan,” katanya.

Selain itu, Mohd Azmi turut mendesak supaya pemimpin negara tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah berhubung isu itu kerana tindakan mereka terus mengelirukan malah menyusahkan pegawai kerajaan yang terpaksa berdepan dengan masyarakat.

NONE “Padahal kenyataan yang saling bercanggah antara Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam isu pembuangan sisa toksik dari kilang Lynas ini membuktikan kelulusan membenarkan Lynas beroperasi adalah keputusan sembrono.

“Tiba-tiba MB Pahang pula membuat kenyataan yang jauh lebih mengejutkan.

“Yang jelas semua kenyataan ini dibuat hanya untuk berselindung di balik hakikat yang sebenar. Bahaya kilang Lynas sememangnya mempunyai risiko tinggi kepada kesihatan manusia dan alam sekitar,” katanya.

Sehubungan itu, kata Mohd Azmi, TERAS mendesak kerajaan BN agar tidak lagi membohongi rakyat dengan strategi emosi dan psikologi seperti yang disebut oleh Najib.

“Apa yang rakyat mahu ialah dibatalkan terus projek ini demi masa depan masyarakat dan alam sekitar negara,” akhiri kenyataan beliau.

ADS