Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suhakam pertahan kebebasan siasatan tanah Orang Asli
Diterbitkan:  Mar 9, 2012 12:15 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mempertahankan kebebasan siasatannya terhadap kes pencabulan tanah Orang Asli di Sarawak walaupun dipertikaikan Persatuan Pembalak Sarawak (STA).

Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam berkata, dalam siasatannya, mereka mempunyai budi bicara memutuskan perjalanan inkuiri, termasuk memutuskan keanggotaan panelnya dan terbuka kepada cadangan penangguhan.

"Bagaimanapun, suruhanjaya sedar akan komen dan cadangan yang dibuat oleh STA dan dengan itu akan terus melibatkan semua pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan bagi memastikan satu proses yang inklusif," katanya.

The Borneo Post pada 6 Mac melaporkan STA sebagai menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap siasatan awam Suhakam yang disifatkan sebagai sangat memihak, tidak adil dan tidak telus kepada anggotanya.

Antara perkara dipertikaikan termasuklah masa persediaan kurang sebulan, aduan terperinci tidak dibekalkan, siasatan melebihi skop aduan, termasuk mempertikaikan kewibawaan panelnya.

Pengurus Besar STA Dr Peter Kho berkata, jika tiada sebarang perubahan, anggotanya tidak akan mengambil bahagian dalam sesi yang akan datang kerana ia seolah-olah pengumuman awal bersalah tanpa syarikatg diberi peluang membela diri.

Suhakam sedang menjalankan siasatan awam di negeri itu bagi menyiasat dakwaan pencabulan hak tanah adat, termasuk kes pencerobohan, pentadbiran tanah, penggazetan tanah hutan serta projek pembangunan komersial dan pampasan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS