Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nik Aziz: Saya simpati pada 'tupai' isu Kedah
Diterbitkan:  Mar 9, 2012 3:40 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, beliau bersyukur kerana krisis pentadbiran Kedah tidak berakhir dengan pentadbiran darurat melalui Majlis Gerakan Negara (Mageran) seperti pengalaman Kelantan pada tahun 1978.

NONE Nik Aziz berkata, dalam menangani konflik menteri besar dan wakil rakyat negeri itu, Mageran digunakan untuk menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan dan bukan perbincangan seperti yang dilaksanakan di Kedah sekarang ini.

"Berbezanya antara dua penyelesaian membuktikan berbezanya dasar yang digunakan, satu dasar Islam dan satu lagi dasar sekular!" kata mursyidul am PAS itu.

PAS beranggapan pergolakan kepemimpinan Kedah berakhir pada 5 Mac lalu dengan pengumuman dua exco - Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh - menerima pelantikan semula ke jawatan mereka.

Dalam kenyataannya semalam, Nik Aziz juga secara sinis berkata, beliau bersimpati terhadap "tupai-tupai" yang melompat keseronokan ketika kemelut itu berputik kerana menjangka dapat "menikmati buahnya".

NONE "Sayangnya, putik tidak menjadi masak, tupai pula jatuh kehampaan," katanya lagi tanpa menamakan dengan jelas pihak terbabit.

Sepanjang krisis Kedah bermula hujung Februari lalu, isu itu menjadi fokus serangan musuh politik mereka daripada Umno dan dikritik hebat di media arus perdana.

Malah, ada yang berspekulasi, krisis itu jika berpanjangan mampu menggoyahkan kestabilan pentadbiran PAS dan bakal memastikan kekalahan parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Nik Aziz juga menganggap kemelut itu istimewa kerana pertelagahan berlaku untuk menolak jawatan dan bukan merebutnya seperti apa yang disifatkannya berlaku dalam " silibus pengajian sekular".

"Bahkan jika terbukti melakukan penyelewengan sekalipun, masih enggan untuk meletakkan jawatan!" katanya membuat perbandingan.

Beliau juga menganggap kesediaan kedua-dua orang exco untuk menggalas tugas yang sebelum ini ditolak merupakan titik noktah terhadap krisis yang melanda negeri itu.

ADS