Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kementerian Muhyiddin menjelajah kumpul idea
Diterbitkan:  Mar 12, 2012 12:00 AM
Dikemaskini: Mar 12, 2012 1:00 AM

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kementerian pelajaran akan mengadakan siri jelajah bagi mengumpul idea dan cadangan berhubung penambahbaikan sistem pendidikan negara.

Untuk itu, kementerian akan berdialog dengan semua pihak yang berkaitan dalam bidang pendidikan seperti guru, alumni, PIBG serta ibu bapa, dan mereka dialu-alukan memberi pandangan, kata beliau.

"Antara perkara yang agak utama yang kita akan tumpukan ialah bagaimana peranan masyarakat untuk mendokong institusi pendidikan kita.

"Sebab itulah usaha yang kita adakan pada hari ini (golf amal) ialah satu inisiatif dengan sumbangan ibu bapa dan alumni, maka sekolah kita akan mencapai kejayaan yang lebih tinggi lagi," katanya.

Beliau yang juga menteri pelajaran berucap pada majlis Golf Amal 1Malaysia Alumni dan PIBG Sekolah Tinggi Muar yang diadakan di Alor Gajah, hari ini. Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.

Muhyiddin berkata penambahbaikan sistem pendidikan negara bukan kerana sistem sedia ada tidak berkualiti, tetapi ia bertujuan menjadikan masa depan negara lebih terjamin dengan melahirkan modal insan berkualiti.

Majlis amal golf itu bagi mengutip dana untuk pembelian sebuah bas bagi kegunaan sekolah tersebut.

Muhyiddin adalah alumni sekolah berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS