Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP dakwa pengarah NFC keluarkan wang RM12 juta
Diterbitkan:  Mar 14, 2012 4:29 PM
Dikemaskini: 10:22 AM

DAP hari ini mendakwa, pengarah National Feedlot Corporation telah memindahkan dana berjumlah RM12 juta daripada pinjaman mudah kerajaan melalui satu syarikat berpangkalan di Singapura.

Pengarah publisiti DAP, Tony Pua mendakwa, pengarah berkenaan telah mengeluarkan wang tersebut secara terus melalui sebuah syarikat yang dinamakannya Global Biofuture Pte Ltd.

Beliau mendakwa demikian berdasarkan rekod audit daripada badan pengawalselia syarikat Singapura, Singapora Accounting and Corporate Regulatory Authority (ACRA) yang menunjukkan bahawa pengarah Global Biofuture telah berhutang dengan syarikat berkenaan.

"Berdasarkan akaun yang telah diaudit daripada ACRA bertarikh 31 Disember 2010, ia dinyatakan bahawa pengarah tersebut berhutang sebanya SGD4,975,415 (RM11.98 juta).

"Malah, seorang pemilik saham tunggal yang bukan merupakan seorang pengarah juga berhutang dengan syarikat tersebut sebanyak SGD60,000 (RM144,000)," kata Pua lagi dalam satu kenyataan hari ini.

Pua juga berkata pengarah berkenaan telah mempertahankan pelaburan mereka sebelum ini dalam bidang restoran dan supermarket di Singapura sebagai satu usaha pemasaran dan promosi kepada produk daging NFC.

Bagaimanapun, dakwaan bahawa pengarah berkenaan telah mengeluarkan wang berjumlah hampir RM12 juta secara terus daripada Global Biofuture itu tidak akan dapat dipertahan, katanya.

Tambahnya, audit ACRA juga menunjukkan bahawa Global Biofuture telah berhutang sebanyak SGD7,935,877 (RM19.1 juta) kepada syarikat lain yang berkaitan dengan pengarah syarikat tersebut.

"Oleh itu kami mempunyai alasan yang kuat untuk percaya bahawa Global Biofuture merupakan sebahagian daripada kumpulan syarikat keluarga Shahrizat," katanya lagi dalam satu kenyataan hari ini.

Pua mendakwa pengarah syarikat berkenaan merupakan anggota keluarga kepada menteri kabinet Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Tiga orang pengarah syarikat tersebut merupakan suami Shahrizat – Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail serta dua orang anak mereka – Wan Shahinur Izran dan juga Wan Izzana Fatimah Zabedah.

Kesemua anak menteri itu, kecuali Wan Izzana, memegang 60,000 saham setiap seorang manakala seorang lagi anak Shahrizat, Wan Shahinur Izmir, juga memegang 60,000 saham syarikat tersebut, dakwa Pua.

Syarikat berkenaan, termasuk National Meat and Livestock Sdn Bhd, Real Food Company Sdn Bhd dan Meatworks (Singapore) Pte Ltd, kesemuanya mendapat sumber dana daripada pinjaman RM250 juta daripada kerajaan Malaysia, dakwa Pua lagi.

"Pemindahan wang kepada pengarah tertentu jelas merupakan jenayah pecah amanah dan penyalahgunaan wang awam...

"Peguam Negara seharusnya tidak teragak-agak untuk mendakwa pengarah NFC untuk penyalahgunaan yang amat jelas ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[Baca berita penuh]

 

ADS