Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan berucap kepada barisan kepimpinan pergerakan itu minggu depan untuk menjelaskan persekitaran yang membawa kepada peletakan jawatan Shahrizat sebagai menteri kabinet.
"Seramai 7,000 perwakilan Wanita Umno dari seluruh negara akan dikumpulkan di dalam sebuah program bersama perdana menteri," kata Penolong Setiausaha Wanita Umno, Datuk Rosni Sohar.
Taklimat tersebut akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada jam 3 petang 23 Mac ini.
"Shahrizat serta perdana menteri akan memberi penerangan di dalam program itu nanti," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Sebelum ini, difahamkan Wanita Umno akan mengadakan siri jelajah bagi memberi penerangan hal sama. Bagaimanapun, Rosni berkata, ia terpaksa ditukar berikutan kesuntukan masa.
Rosni turut mengakui bahawa terdapat segelintir ahli yang berasa kecewa apabila mengetahui berita peletakan jawatan Shahrizat.
"Kami tidak mempunyai masa untuk pergi (siri jelajah) kerana kebanyakan kita sibuk bekerja di bahagian dan di kawasan pilihan raya. Jadi adalah lebih baik untuk mengadakan satu sesi seperti ini.
"Pada mulanya, biasalah. Semua akan terasa (peletakan jawatan). Kalau yang tak terasa bukan manusialah. Kita telah jelaskan melalui panggilan telefon tetapi untuk memberi penerangan lanjut kita adakan majlis penerangan penuh," katanya.
Taklimat itu, tambah beliau, akan menjadi tempat yang terbaik bagi menjelaskan perkara tersebut.
Rosni berkata lagi, isu peletakan tersebut tidak akan menjejaskan parti tetapi sebaliknya, kata beliau, jentera parti masih kukuh.
Rosni yang juga merupakan Ketua Wanita Hulu Selangor berkata, apa yang terjadi mempunyai hikmah dan mampu menjadikan Wanita Umno lebih fokus dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
"Ada hikmah perkara ini berlaku. Jika dulu Shahrizat perlu bahagikan tugas sebagai menteri dan ketua (Wanita Umno), sekarang dia ada lebih masa untuk bersama Wanita.
"Dia akan fokus pada Wanita untuk memperkuatkan jentera dalam menghadapi pilihan raya umum," katanya.
Ditanya adakah Wanita Umno akan meminta wakil dari sayap itu dilantik menganggotai barisan kabinet, Rosni berkata, perkara itu terserah kepada Najib.
"Sebagai Wanita (Umno), kita perlu bekerja untuk parti dan tidak mengharapkan (jawatan kabinet). Tetapi jika perdana menterii berasakan wajar, kita terima," katanya.
