Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kabinet telah memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa pilihan parlimen (PSC) untuk mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan projek memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang, kata Presiden MCA Dr Chua Soi Lek hari ini.

chua soi lek debate lim guan eng "MCA menyokong keputusan itu, dan berharap ahli politik pembangkang yang akan berada dalam jawatankuasa itu, tidak akan menggunakannya sebagai platform untuk berpolitik," ujarnya.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai keputusan itu oleh menteri MCA dalam kabinet.

Chua (kanan) memuji keputusan itu dan berkata ia menunjukkan perdana menteri mengutamakan rakyat, dan kerajaan mendengar suara rakyat, terutama penduduk Pahang.

Beliau berkata, mungkin terdapat isu dengan Lynas, tetapi ia tidak harus dipolitikkan, dan menegaskan bahawa penubuhan PSC adalah cara terbaik untuk mengumpul maklum balas dari semua pihak yang berkepentingan.

"Dan kita berharap NGO dan individu yang dijemput memberi input mereka, akan berbuat demikian secara profesional," katanya dalam sidang akhbar di ibupejabat MCA hari ini.

Beliau juga berkata, MCA memandang serius soal kesihatan dan kebajikan rakyat tetapi usaha untuk menarik pelaburan asing juga penting.

Bagaimanapun, Chua berkata, beliau tidak tahu bila PSC itu akan ditubuhkan.

Loji memproses nadir bumi Lynas itu telah mencetuskan kontroversi dan beberapa demonstrasi besar-besaran membantah pembinaannya telah diadakan ekoran kebimbangan terhadap keselamatannya, terutama mengenai pengurusan sisa radioaktif peringkat rendah, serta dakwaan pembinaannya kurang bermutu.

Chua juga menolak laporan media bahawa parti itu akan memberi tumpuan hanya pada 20 kawasan pilihan raya parlimen yang mampu dimenanginya.

"Ia tidak benar. Kita mempunyai 130 kerusi (parlimen dan negeri). Semua kerusi boleh dimenangi jika kita bekerja dengan cukup keras," katanya, sambil menambah bahawa kemampuan MCA tidak harus diperkecilkan selepas tsunami politik 308.

Dengan memetik angka, beliau menegaskan bahawa MCA mempunyai lebih ramai ahli Parlimen daripada DAP selepas pilihan raya umum 1999 dan 2004.

Jadi, tambah Chua, pihaknya percaya bahawa nasib politik boleh naik turun, kerana pengundi berubah.

[Baca berita penuh]

ADS