Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ubah wang haram: Bekas SU politik menteri didakwa
Diterbitkan:  Mar 20, 2012 4:49 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Hasbie Satar, bekas setiausaha politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini terhadap 28 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu transaksi mendepositkan wang tunai berjumlah RM935,000 ke dalam akaun 11 individu termasuk anggota keluarganya.

NONE Hasbie, 39, yang memakai sut kelabu membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di beberapa bank dan Tabung Haji di tiga lokasi iaitu di Salak Tinggi, Sepang, Bandar Baru Bangi dan Putrajaya antara 4 Dis 2008 dan 18 Jun 2009.

Hasbie didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis dan Hazril Harun mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM100,000 dan memohon kesemua 28 pertuduhan itu dibicarakan bersama.

Pihak pendakwaan turut memohon agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang di mana tertuduh mempunyai satu lagi pertuduhan di bawah akta yang sama.

Permohonan di bawah Seksyen 165 Kanun Prosedur Jenayah itu dibuat atas alasan kesemua 28 pertuduhan tersebut melibatkan seksyen yang sama dan kebanyakan saksi adalah saksi yang sama dalam kes di Mahkamah Sesyen Butterworth.

Pada 10 Feb tahun lalu, Hasbie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan memiliki wang daripada hasil aktiviti haram berjumlah RM2,134,656 dan dia dibebaskan dengan jaminan RM60,000 serta dua orang penjamin.

Peguam Y Sheelan Samuagam yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM30,000 atas alasan jumlah yang ditawarkan pihak pendakwaan terlalu tinggi memandangkan anak guamnya telah dituduh di Mahkamah Sesyen Butterworth.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM90,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 April ini untuk sebutan semula kes.

Beliau turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kesemua 28 pertuduhan dibicarakan bersama tetapi menolak permohonan mereka untuk memindahkan kesemua kes itu ke Mahkamah Sesyen Butterworth.

- Bernama

ADS