Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahli politik diminta lapor pada polis jika rasa terancam
Diterbitkan:  Mar 26, 2012 9:50 PM
Dikemaskini: 1:54 PM

Ahli politik di negara ini diminta melaporkan kepada pihak polis sekiranya merasakan diri mereka terancam, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    

Beliau berkata kegagalan ahli politik berbuat demikian menyebabkan pihak polis sukar menjamin keselamatan mereka terutamanya ketika menghadiri ceramah umum di seluruh negara.

"Polis adil memastikan keselamatan mereka (ahli politik).. ketua pembangkang, anak kepada ketua pembangkang sekalipun, jika rasa tidak selamat mereka boleh memohon sendiri kepada polis, saya sendiri memberi jaminan.

"Tetapi jika tidak dimaklumkan dan sesuatu berlaku, ini tidak boleh salahkan pihak polis," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

    

Mengenai kejadian Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong 'diserang' di perhimpunan pendidikan Cina di Kajang semalam, Hishammuddin berkata sekiranya polis dimaklumkan terlebih dahulu kehadiran Wee di perhimpunan itu, beliau yakin kejadian itu dapat dielakkan.

    

"Kita akan buat apa yang sepatutnya selepas ini bagi memastikan kejadian seperti ini tidak akan berulang. Kita sedia maklum perkara ini akan berlaku dalam konteks ceramah masing-masing (kerajaan dan pembangkang)," katanya.

Beliau menasihatkan Wee membuat laporan polis sekiranya merasakan diri beliau terancam selain membolehkan polis membuat siasatan.

    

- Bernama

ADS