Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perintah syarikat balak bayar gantirugi pada Umno Pahang kekal
Diterbitkan:  Mar 30, 2012 9:10 AM
Dikemaskini: 1:13 AM

Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang memerintahkan syarikat pembalakan Seruan Gemilang

Makmur Sdn Bhd membayar gantirugi kepada Badan Perhubungan Umno negeri Pahang berhubung satu kontrak pembalakan.

    

Panel tiga hakim dianggotai Datuk Sulong Matjerai, Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Mohtaruddin Baki sebulat suara memutuskan untuk menolak rayuan  Seruan Gemilang terhadap keputusan mahkamah bertarikh 16 Jun 2001 itu.

Dalam keputusan itu, Mahkamah Tinggi Kuantan membenarkan tuntutan balas Badan Perhubungan Umno Pahang untuk mengisytiharkan kontrak bertarikh 2 Oktober 2000 yang didakwa Seruan Gemilang dimeterai antara kedua pihak, sebagai batal dan tidak sah.

    

Mahkamah Tinggi turut memerintahkan Seruan Gemilang membayar gantirugi kepada Badan Perhubungan Umno Pahang.

    

Hakim Sulong berkata hujah peguam Datuk Harpal Singh, yang mewakili Seruan Gemilang, bahawa mahkamah tidak sepatutnya memberikan gantirugi kepada Badan Perhubungan Umno Pahang kerana perjanjian itu telah diisytiharkan tidak sah, tidak dapat diterima.

    

Beliau juga berkata tidak ada keizinan diberikan Badan Perhubungan Umno Pahang kepada Seruan Gemilang bagi melaksanakan kerja pembalakan di Blok A2.

    

Pada 27 Mac 2003, Seruan Gemilang memfailkan saman terhadap Badan Perhubungan Umno Pahang menuntut gantirugi berjumlah RM31.16 juta selepas mendakwa terdapat pelanggaran kontrak berhubung hak menebang balak di atas sebidang tanah di Nenasi, Pekan, Pahang yang diluluskan kepada badan itu.

    

Badan Perhubungan Umno Pahang kemudian mengemukakan tuntutan balas memohon satu deklarasi bahawa kontrak yang dikatakan itu adalah batal dan tidak sah serta mendakwa ia tidak wujud.

    

Badan itu turut menuntut agar Seruan Gemilang membayar semua faedah serta keuntungan yang diperoleh syarikat itu bagi balak yang ditebang di tanah seluas 1,000 ekar atau dikenali sebagai Blok A2 di Nenasi.

    

Badan Perhubungan Umno Pahang menuntut RM1.5 juta.

    

Pada 1 Disember 2009, Mahkamah Tinggi Kuantan membenarkan permohonan badan itu untuk membatalkan saman Seruan Gemilang dan syarikat tersebut tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan ini.

Pada 16 Jun 2001, Mahkamah Tinggi Kuantan membuat keputusan yang memihak kepada Badan Perhubungan Umno Pahang dan memerintahkan ganti rugi kepada mereka ditaksir.

    

Peguam Toh Seng Soon yang mewakili badan itu berkata pihaknya menuntut RM72 juta sebagai gantirugi.

    

Beliau berkata jumlah itu termasuk faedah ekoran keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 21 September 2002 dalam satu lagi kes saman yang menyaksikan Seruan Gemilang memperoleh penghakiman terhadap kerajaan negeri Pahang dan Jabatan Perhutanan.

    

Dalam saman itu, mahkamah memerintahkan kerajaan negeri membayar gantirugi berjumlah RM37.1 juta kepada syarikat tersebut.

    

Jumlah itu kini meningkat kepada RM70 juta, termasuk faedah.

- Bernama

ADS