Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Johor: Pakatan tambah kerusi 'sukar tapi tak mustahil'

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mengakui usaha Pakatan Rakyat untuk menambah kerusi DUN dan Parlimen di Johor "tidak mudah tetapi tidak mustahil" berlaku pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, berdasarkan program turun padang gabungan itu bersama rakyat sejak kebelakangan ini, beliau merasai reaksi dan respon yang positif rakyat negeri itu yang mahukan perubahan kepada Pakatan Rakyat.

"Ini peluang terbaik yang semestinya perlu dilihat secara positif oleh Pakatan Rakyat. Mungkin (Datuk) Shahrir Samad rasa ianya di kubu kuat BN. Itu hak dia (untuk memberi pendapat), kalau dia rasa (rakyat) tidak berubah sejak kemerdekaan dulu.

NONE "Saya percaya keadaan sudah berubah, Melayu, Cina dan India telah berubah. Kita telah mencapai kemerdekaan dan mereka mahukan kerajaan yang urustadbir yang baik dan adil kepada semua pihak.

"Semua pihak mahu mendapat keadilan yang saksama. Itulah reaksi rakyat Johor," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Salahuddin mengulas kenyataan ahli parlimen Johor Datuk Shahrir Samad yang dilapor berkata negeri itu tidak akan dilanda tsunami politik kerana pembangkang tidak mempunyai banyak isu untuk dibangkitkan termasuk perbelajaan pemimpin BN yang terkawal dan tidak boros.

Akhbar berbahasa Cina Sin Chew Daily melaporkan Shahrir sebagai menegaskan komponen BN Johor mempunyai kerjasama erat bahkan pengundi Melayu banyak telah menyokong BN serta undi kaum Cina tidak banyak berubah.

Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan Shahrir, Salahuddin yang juga bekas ketua Pemuda PAS tidak menjawab secara langsung, sebaliknya hanya menjanjikan "satu perubahan akan berlaku" di negeri itu.

NONE "Kita boleh menambah kerusi DUN dan Parlimen, saya berfikir kita boleh membuat penambahan kerusi di Johor. Walaupun tidak mudah, tetapi ia tidak mustahil berlaku," katanya yang juga ahli parlimen Kubang Kerian.

Katanya, pencapaian "cukup baik" kepada Pakatan sekiranya gabungan itu mampu memenangi separuh kerusi DUN dan Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

Johor mempunyai 26 kerusi parlimen dan 56 kerusi DUN.

Dalam temubual Malaysiakini pula, Salahudin berkata perubahan politik di Johor berlaku apabila kebangkitan kesedaran anak muda dari pelbagai bangsa mengambil berat tentang politik termasuk dokongan orang bukan Melayu yang pernah memberi kemenangan Pakatan di Selangor pada 2008.

"Jadi, kalau saya seorang ahli politik tidak ambil kesempatan dan bersama dengan perubahan, apa nilai saya sebagai seorang pejuang politik, pemimpin yang diberi kepercayaan untuk memimpin atau bersama memimpin perubahan.

"Jadi dengan sebab itu saya tetap yakin pada hari ini, Johor ialah gelanggang yang cukup subur di mana suatu perubahan besar akan berlaku," katanya dalam temubual itu semalam.

Mengulas mengenai tumpuan PAS di kawasan yang ditandingi, Salahuddin berkata PAS sedang berusaha menambahkan kekuatan sokongan pengundi Melayu-Islam termasuk di DUN Sungai Abong dan Maharani yang dimenangi mereka.

Bahkan, katanya, parti itu juga akan terus berusaha menambah kepercayaan dan sokongan  khususnya kaum Cina yang sudah ada di 20 kawasan bagi mencipta kemenangan.

 

Katanya lagi, PAS juga bakal memperkenalkan calon terbaik dari pelbagai latar belakang, taraf pendidikan  termasuk dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), sebagai strategi dalam pilihan raya umum kelak.

Selain dokumen Negara Berkebajikan dan Buku Jingga, PAS juga menggunakan isu tempatan seperti isu tanah, isu felda, isu pendidikan dan isu pembinaan loji penapisan minyak di Pengerang, Johor.

Salahuddin berkata manifesto Pakatan Rakyat Johor juga telah menetapkan dengan menghadkan jawatan menteri besar kepada dua penggal sahaja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS