Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ribuan penduduk di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat keluar rumah menyelamatkan diri semalam setelah gempa bumi berukuran 8.6 pada skala Richter berlaku di Simeulue, Aceh diikuti beberapa gempa susulan.

Data oleh Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia mencatatkan beberapa gempa susulan berlaku setelah gempa kuat yang pada awalnya dilaporkan berukuran 8.9 skala Richter pada pukul 3.38 petang waktu tempatan itu namun kekuatan gempa susulan semakin menurun.

BMKG segera mengeluarkan amaran tsunami sejurus gempa bumi kuat pertama yang berlaku pada kedalaman 10 km di Simeulue, Aceh itu diikuti gempa susulan berukuran 8.5 pada skala Richter beberapa saat kemudian.

azlan Selain penduduk Aceh yang ramai berpindah ke pusat pemindahan, sejumlah penduduk di Balige, daerah Toba Samosir, Sumatera Utara juga bertempiaran keluar rumah apabila merasai gegaran kuat pada kira-kira pukul 5 petang kerana khuatir kejadian itu akan menimbulkan bencana.

Di Padang, Sumatera Barat, ribuan penduduk bandar itu berkumpul di kawasan Bypass zon hijau untuk berlindung daripada gelombang tsunami, setelah siren amaran tsunami berbunyi lantang di pusat bandar.

Penduduk pergi ke pusat pemindahan di zon hijau dengan menggunakan kenderaan selain berjalan kaki.

Kesesakan lalu lintas dari arah pusat bandar menuju kawasan jalan Bypass Padang, hingga pukul 6 petang masih berlaku kerana kepadatan kenderaan yang terus meningkat sehingga memaksa sebahagian pelajar untuk berjalan kaki ketika pulang dari sekolah.

Sementara itu, di Bengkulu, Ketua Stesen BMKG Kepahiang Dadang Permana berkata peringatan tsunami yang dikeluarkan di Bengkulu akibat gempa susulan yang melanda wilayah Aceh pada pukul 5.43 petang, dilanjutkan hingga pukul 7.15 malam.

BMKG turut mencatat gempa susulan pada pukul 4.28 petang yang berukuran 6.5 pada skala Richter, kira-kira 510 km ke Barat Daya daerah Simeulue, Aceh dengan kedalaman 42 km.

Gempa susulan berukuran 6.1 skala Richter juga dicatat berlaku pada pukul 4.48 petang pada kedalaman 10 km di 630 km ke barat daya Simeulue, Aceh diikuti dengan dua lagi gempa iaitu pada 5.09 petang dengan kekuatan 6.1 dan dengan kekuatan 5.7 skala Richter pada pukul 5.21 petang.

BMKG telah sekali lagi mengeluarkan amaran tsunami untuk wilayah Bengkulu, Lampung, Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara setelah gempa bumi berkekuatan 8.8 skala Richter kembali menggegarkan Aceh pada pukul 5.43 petang.

Di Jakarta, pakar tsunami Dr Subandono Diposaptono berkata penduduk yang tinggal di pesisir pantai di Aceh boleh kembali ke tempat tinggal masing-masing jika dua jam setelah berlaku gempa Aceh yang berkuatan 8.5 skala Richter itu tidak menyebabkan tsunami.

"Gempa ini berlaku di sekitar jarak 370 km dari pantai Aceh barat dengan kedalaman 10 km, jadi dianggarkan kelajuan tsunami 400-500 km sejam dan memerlukan masa paling lama satu jam dari tempat berlakunya gempa," kata Dr Subandoro.

- Bernama

 

ADS