Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Badan Pengkajian dan Penerapan Teknologi (BPPT) Indonesia sedang bekerjasama dengan Amerika Syarikat untuk mengeluarkan alat pengesan awal tsunami yang boleh dipasang di dalam laut bagi mengelak perbuatan vandalisme.

Langkah itu diambil berikutan banyak alat pengesan itu yang dipasang di pesisir pantai barat Sumatera didapati hilang atau tidak berfungsi angkara perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab.

"Kami sekarang sedang mengembangkan pembuatan alat pengesan awal tsunami, yang dipasang di dalam laut, dengan harapan ia akan lebih selamat dan tidak akan diambil lagi oleh individu yang tidak bertanggungjawab," kata Menteri Penyelidikan dan Teknologi Indonesia Gusti Muhammad Hatta di Solo, Jawa Tengah.

Beliau berkata selain di kawasan pantai barat Sumatera, yang telah banyak dipasang alat itu, pihak berkuasa akan turut memasang alat itu di perairan Papua.

Pemantauan dan pemeliharaan juga akan dipertingkat untuk memastikan alat-alat pengesan awal tsunami yang telah dipasang di pinggir pantai dapat berfungsi kembali.

Dalam kejadian gempa bumi kuat berukuran 8.5 pada skala Richter di Aceh pada Rabu, ada penduduk di beberapa kawasan pesisir pantai barat Sumatera mengadu tidak mendengar amaran seperti siren daripada sistem amaran awal tsunami, walaupun pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran tentang potensi ancaman bencana tsunami.

Sementara itu, Aceh hari ini terus mengalami beberapa gempa bumi tektonik termasuk berukuran 5.5 pada skala Richter di 415km ke barat daya Banda Aceh dengan kedalaman 10 km pada pukul 3.21 pagi.

- Bernama

ADS