Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno Bahagian Bayan Baru mempertahankan dakwaannya bahawa kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP cuba mensabotaj lawatan Timnbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Pulau Pinang esok.

Malah, ketua penerangan bahagian Datuk Mohd Ridzwan Bakar mempertikaikan kedatangan exco negeri dan wakil rakyat Pakatan Rakyat yang didakwa menyebabkan banyak "pihak terganggu".

"Saya punya firasat mereka cuba mensabotaj majlis. Sebagai pengerusi penganjur saya minta mereka jangan kacau majlis.

"Otak saya bercelaru, banyak benda nak kena atur...angin saya lagi naik. Saya nak kena tengok itu dan ini lagi," katanya merujuk kepada kehadiran exco Abdul Malik Kassim dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin ke lokasi persiapan.

Menurutnya kehadiran Sim dan Abdul Malik yang juga ADUN Batu Maung ke lokasi sambutan di Persiaran Mahsuri, Bayan Baru pagi tadi tidak diperlukan.

Umno Pulau Pinang sedang bersiap menyambut timbalan perdana menteri yang tiba Pulau Pinang esok. Muhyiddin dijangka sampai kira-kira jam 11 pagi dan akan meluangkan masa selama dua jam bagi menyampaikan bantuan kepada penduduk setempat.

ADUN PKR dakwa diancam dipukul

Sementara itu, Sim sewaktu dihubungi Malaysiakini menjelaskan kehadirannya dan Abdul Malik ke tempat itu dibuat selepas menerima aduan penduduk setempat yang berasa terganggu dengan persiapan yang berlangsung.

Dakwanya, petugas Umno menutup jalan enam lorong bagi mendirikan khemah sejak petang Isnin lalu sedangkan program akan berlangsung esok selama dua jam sahaja.

"Mereka dakwa kita buat kacau tetapi pagi tadi mereka sendiri yang mengugut mahu memukul ADUN Batu Maung jika tiada wartawan turut sama dalam tinjauan," katanya sambil mendakwa tiada kebenaran Majlis Perbandaran Pulau Pinang dikeluarkan.

"Oleh itu, kehadiran saya pagi tadi adalah untuk memudahcara dan mencadangkan agar mereka berpindah ke lokasi berdekatan yang lebih selesa."

Sim berpendapat, majlis itu sewajarnya dibuat di Stadium Pisa yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat itu, bersesuaian dengan taraf TPM yang berkunjung ke Pulau Pinang.

Umno Bayan Baru sebelum ini mendakwa kerajaan Pulau Pinang cuba mensabotaj lawatan Muhyiddin Yassin ke Pulau Pinang.

ADS