Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Agos Cholan berkata walaupun badan itu umpama perniagaan yang memerlukan komitmen, ia tetap bukan bank.

NONE "(Jumlah) peminjam akan terus meningkat naik macam (peminjam) bank. Tapi kita bukan bank... PTPTN ialah satu badan tanggungjawab sosial," katanya.

Agos berkata, pelajar yang tamat pengajian seharusnya tidak mempunyai masalah membayar semula wang tersebut sekiranya menjadikannya satu keutamaan.

"Antara sebab kenapa ada sesetengah individu yang tidak bayar bukan kerana mereka tidak mampu, tetapi mereka tidak memberi keutamaan untuk membayar wang pinjaman PTPTN.

"Jadi kami menggunakan kaedah senarai hitam dan tidak boleh ke luar negara kepada individu yang tidak membayar pinjaman PTPTN sebagai langkah untuk mengutip hutang. Kita profesional, bukan pakai Along," katanya lagi.

Jelasnya, sehingga kini, PTPTN membelanjakan sebanyak RM30 bilion daripada peruntukan yang diberi iaitu RM43 bilion dan masih berbaki RM13 bilion untuk diberikan sehingga tahun 2014.

"Jika kita hentikan (PTPTN) sekarang, kita telah lepaskan RM13 bilion itu," kata Agos dalam forum pendidikan percuma di Kuala Lumpur malam tadi.

Antara terlibat sama sebagai ahli panel editor bahasa Cina Malaysiakini Yong Kai Ping dan aktivis pelajar Heng Kiah Chun.

Agos: Bunga untuk bantu pelajar

Sementara itu, menjelaskan bayaran upah satu peratus yang dikenakan, Agos berkata ia sebenarnya bertujuan membantu pelajar.

"PTPTN perlu memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk berumur 17 hingga 23 tahun mendapat pendidikan berbayar...

NONE "Kenapa peminjam perlu bayar bunga (upah) yang dikenakan sebanyak satu peratus tu adalah sebenarnya kita membantu pelajar.

"Dari segi perniagaan jika tidak buat begitu kita akan bankrap," katanya di hadapan kira-kira 30 orang yang hadir dalam forum itu.

Mengulas dakwaan keadaan PTPTN yang 'kritikal' akibat hutang yang banyak, Agos berkata, ia tidak menjadi masalah berdasarkan situasi semasa.

"Saya ambil contoh mana-mana model perniagaan, kalau orang yang berhutang pada saya melebihi apa yang saya hutang pada orang, ia Ok kan?

"Contoh macam PTPTN, kita hutang EPF, bank, contohnya (sebanyak) RM25 bilion kita hutang, tetapi orang yang hutang dengan kita (pelajar) ialah sebanyak RM30 bilion, kita masih lagi Ok kan?

"Tapi benda ini kita tak bolehlah bagi 'beban' pada kerajaan. Walaupun penghutang lebih banyak daripada pembayar, kita Ok.

"Bunga sebanyak satu peratus itu adalah untuk bantu pelajar. Kami (PTPTN) hanya lakukan tanggungjawab kami," katanya disambut sorakan sinis daripada hadirin.

ADS