Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cuepacs mahu penganjur bayar pampasan
Diterbitkan:  Apr 30, 2012 6:46 PM
Dikemaskini: May 1, 2012 7:02 AM

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu penganjur perhimpunan Sabtu lepas membayar pampasan kepada anggota pasukan keselamatan dan petugas media yang cedera akibat tindakan peserta perhimpunan.

    

Presidennya Datuk Omar Osman berkata Cuepacs kesal dengan tindakan peserta perhimpunan itu yang sengaja mencederakan anggota polis dan warga media yang bertugas sehingga terlantar di hospital.

"Cuepacs sebagai payung kepada penjawat awam di negara ini termasuk anggota keselamatan kesal dengan kejadian tersebut," katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Pendidikan Cuepacs oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob di Kolej Shahputra di Kuantan hari ini.

    

Omar berkata Cuepacs juga tidak akan membela penjawat awam yang ditangkap kerana didapati menyertai perhimpunan tersebut.

    

"Sekiranya penjawat awam ini tertangkap menyertai perhimpunan sebegini, mereka perlu selesaikan sendiri dan tanggung segala risiko serta segala hak mutlak mereka akan terhapus dan berkemungkinan dibuang kerja atau tindakan tatatertib," katanya.

Katanya perkara itu selaras dengan Peraturan-peraturan Pegawai Awam yang melarang penjawat awam terlibat dalam perhimpunan haram atau sebarang bentuk gerakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan mengancam keselamatan negara.

- Bernama

ADS