Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi tepis dakwaan fitnah pengerusi NFC
Diterbitkan:  May 1, 2012 11:51 AM
Dikemaskini: 6:44 AM

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli menepis dakwaan Mohamad Salleh bahawa beliau membuat kenyataan fitnah dengan mendakwa bahawa pengerusi National Feedlot Corporation (NFC) itu tidak pernah membuat pinjaman untuk membeli unit hartanah KL Eco City.

"Hakikatnya, beliau memang ada membuat pinjaman tersebut tetapi dibatalkan oleh bank apabila skandal NFC menjadi panas.

"Buktinya, tawaran pinjaman dibuat oleh bank pada 23 Mei 2011 tetapi dibatalkan pada 4 Januari 2012," kata Rafizi dalam satu kenyataan.

Tambahnya, beliau rela berdepan dengan tindakan oleh Mohamad Salleh berhubung pendedahannya dalam skandal NFC itu.

"Bukanlah sesuatu yang memalukan jika kita dihukum kerana berkata benar dan mengambil tindakan yang betul.

"Tetapi jika kita dibuktikan menyeleweng wang rakyat yang sepatutnya sampai kepada orang miskin tanpa sedikit pun rasa bersalah atau rendah diri, kita akan dipandang hina di mata rakyat," katanya lagi.

Mengulas lanjut tindakan Mohamad Salleh mengadu kepada polis dan kepada Bank Negara Malaysia, Rafizi berkata beliau sedia bekerjasama untuk siasatan.

"Cubaan NFC untuk meletakkan saya di kandang orang bersalah akan dipandang sinis oleh rakyat. Bukan saya yang dibicarakan rakyat tetapi NFC yang gerak gerinya terus dihakimi rakyat," katanya lagi.

Mohamad Salleh dalam kenyataannya semalam berkata beliau dan ahli keluarga tidak pernah menerima sebarang kemudahan pinjaman bank untuk membeli lapan unit pejabat di KL Eco City seperti didakwa Rafizi pada sidang media bertarikh 7 Mac.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa NFC menolak satu tawaran pinjaman dari sebuah bank untuk membeli unit pejabat di KL Eco City.

"Bank terbabit kemudiannya menarik kembali tawaran pinjaman itu yang disahkan dalam surat bertarikh 4 Januari 2012, katanya.

"Ringkasnya, tiada pinjaman yang diambil," katanya lagi yang menjelaskan bahawa NFC tidak perlu membuat bayaran semula memandangkan pinjaman tersebut tidak diambil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS