Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Terdapat peneroka yang menyesal selepas menandatangani borang permohonan pinjaman dari institusi perbankan bagi membeli saham Felda Global Ventures Holding (FGVH) yang bakal disenaraikan di Bursa Malaysia, dakwa Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK).

Presidennya Mazlan Aliman mendakwa, kekesalan itu apabila mereka mengetahui risiko yang mungkin ditanggung setelah mendapat maklumat sebenar.

Malah, dakwanya, ada peneroka yang berjumpa dengan pengurusan Felda untuk menarik balik borang yang ditandatangani itu.

NONE "(Bagaimanapun) respons pengurusan Felda sangat negatif," katanya sambil mendakwa terdapat peneroka yang 'diugut dan diancam' disingkir dari Felda jika berbuat demikian.

Dalam sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara hari ini, Mazlan turut menunjukkan, mengedarkan dan membaca dokumen perjanjian dan surat tanggung kerugian itu.

"Satu yang pelik, kita berniaga memikirkan pasal keuntungan, tetapi (di sini) fikir tentang kerugian," katanya sambil mengangkat surat tanggung kerugian.

"Jadi pihak bank pun tidak yakin... Saya yakin mereka tidak mahu tanggung risiko jika saham FGVH yang (disenaraikan) diapungkan," katanya yang juga ahli jawatankuasa Pusat PAS.

Pasaran saham dijangka merudum

Mazlan berkata penganalisis ekonomi meramalkan pasaran saham akan terus merudum dalam tempoh enam bulan akan datang menyebabkan peneroka bakal menanggung risikonya.

NONE "Saya merujuk kepada pegawai bank, risiko bankrap (bakal ditanggung) jika gagal membayar pinjaman bank... Perkembangan ini, (dilihat) sangat menzalimi, satu penipuan dan pengkhianatan kepada peneroka.

"Skim yang diperkenalkan ini, hampir menyerupai skim Pak Man Telo (iaitu) kumpul saham peneroka dan dipaksa jual dalam tempoh enam bulan," katanya.

Menurutnya lagi, beliau turut berasa pelik apabila peneroka yang berumur 65 tahun turut diberi pinjaman dalam jumlah yang besar sehingga mencecah antara RM50,000 dan RM100,000.

Mazlan mendakwa separuh daripada dana yang dikumpulkan daripada saham peneroka akan digunakan untuk pemberian 'durian runtuh' oleh perdana menteri pada 8 April dan hanya separuh lagi digunakan untuk pelaburan.

Turut hadir bekas pegawai Bank Negara Dr Rosli Yaacob yang kini bergiat aktif bersama PAS.

ADS