Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN Pembaca akan bersimpati jika mengetahui perih getirnya tugas polis membanteras jenayah.

Demikian pengalaman mengajar saya sepanjang 10 tahun sebagai wartawan meja jenayah.

Ya, bersimpati, khususnya anggota pangkat rendah yang saban malam bersengkang mata membanteras jenayah.

Mereka tak tidur siang malam, berdepan risiko bagi menangkap penjenayah. Jika gagal, mereka dibambu, diherdik, dihamun dengan kata-kata kesat.

Pernah saya 'melepak' bersama anggota polis dalam semak samun - bertemankan nyamuk - dari tengah malam hingga jam 4 pagi semata-mata mahu menangkap seorang pencuri.

Begitulah dedikasinya anggota bawahan. Lain pula ceritanya dengan pegawai atasan - bermain golf setiap Jumaat.

Namun, anggota bawahan sentiasa tunduk kepada pegawai atasan - akur tanpa bersoal jawab.

Jika diarah pimpin tangan nenek tua melintas jalan - mereka lakukan. Jika diarah menderma separuh gaji untuk orang miskin pun, mereka buat.

Dan, jika arahannya pukul dan terajang orang, mereka juga lakukannya 'sepenuh hati'. Bagi mereka, ia 'amanah' dan 'bakti' kepada negara.

Anggota bawahan dimomok

Jadi, apa mahu dihairankan dengan gelagat polis pada perhimpunan BERSIH? Membelasah orang awam - bagi mereka bukan kesalahan tapi 'jasa'. Begitulah anggota bawahan dimomok.

Wartawan juga tidak terkecuali dari kebuasan polis. Mungkin bagi yang baru berkecimpung dalam dunia kewartawanan, adegan polis mengasari wartawan adalah episod baru.

Sebenarnya tidak.

Sekurang-kurangnya, ia sudah berlarutan lebih 10 tahun lalu ketika saya masih bertugas untuk Berita Harian (BH).

Dalam perhimpunan Jalan Kebun pada 2000, saya bersama wartawan dan jurugambar Utusan serta Bernama , dikerumuni berbelas-belas anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU).

Jurugambar Utusan - Pak Ya nama panggilannya - yang kurang setahun bakal pencen wajib, dikeronyok, lehernya dicekak manakala kameranya rosak apabila filem dirampas.

Punca? Mereka khuatir Pak Ya merakam gambar polis membelasah orang awam di sekatan jalan raya sedangkan beliau tidak pun berbuat begitu.

(Bagi pengamal media arus perdana, merakam gambar atau menulis berita polis pukul orang awam adalah bodoh kerana ia pasti dibakul sampah dan ditengking 'bos'.)

Adakah kami tidak memakai pas media yang dikeluarkan Kementerian Penerangan? Pakai, cuma 'tak laku' - tak bernilai sesen pun.

Helah penyamar

Kami buat laporan polis dan jual mahal apabila enggan hadir ke balai untuk beri keterangan, sebaliknya mendesak mereka ke pejabat - ini ketetapan kami.

Polis beralah dan dua anggota datang ke pejabat Utusan biro Klang di Jalan Raja Bot dan membawa bersama puluhan gambar anggota FRU.

Namun, kami gagal membuat pengecaman kerana semua mugshot (gambar muka) ialah 'wajah muda-muda' ketika baru masuk kerja.

Saya berasa tertipu lalu memboikot penggunaan pas media sehinggalah bertugas di biro Pulau Pinang lebih lima tahun selepas kejadian itu.

Pas media pula bukan milik eksklusif organisasi media kerana ia turut 'dikongsi' polis cawangan Khas (SB). Ini saya kesan ketika saya dan seorang jurugambar Utusan dipukul penyokong reformasi pada 1998.

Kekecohan demontrasi di Kampung Baru, sebenarnya bermula apabila seorang SB melepaskan tembakan ke udara. Saya berada tidak jauh dari anggota berkenaan.

Saya nampak - jelas - SB itu memakai pas The Star tetapi samaran itu terdedah kerana 'misai lentingnya'. Ini sama dengan helah SB yang memakai baju-T Bersih.

Bezanya, penyamar tak lagi bermisai lenting.

Acu pistol? Ini juga bukan perkara baru. Wartawan lebih dahulu mengalaminya sekitar 1998.

Melangkau imaginasi

Demikian saya dimaklumkan seorang rakan setugas di meja jenayah BH dan seorang rakan serumah yang baru sehari bertugas di meja jenayah Bernama - sebuah agensi berita nasional Malaysia.

Saya masih ingat betapa wartawan Bernama itu menggigil-gigil sepulangannya dari tugasan itu.

Namun, rakan setugas dalam BH mungkin sengaja melupakan insiden itu kerana wartawan kelahiran Sarawak itu kini sudah menjadi 'orang kanan' kepada seorang pemimpin BN.

Jadi, jika wartawan independan dan alternatif mengharapkan polis melindungi mereka, saya cadang - lupakan. Wartawan media arus perdana pun tidak terlepas dari 'jenayah' polis itu.

Ini berulang pada perhimpunan BERSIH 3.0 lalu. Malah, situasinya lebih buruk. Keganasan polis melangkaui imaginasi.

Kalau dulu, tiada kedengaran wartawan - apatah lagi di kalangan bukan media alternatif atau wartawan asing, 'masuk' hospital dipukul polis. Kini, ia benar-benar berlaku.

Radzi Razak - wartawan The Sun terkedang di hospital berhari-hari lamanya manakala gambar Muhammad Arif Kartono dari The Malay Mail berlumuran darah, bukan lagi rahsia.

Maka, apa diharap kepada editor media arus perdana yang sehingga kini berteleku menunggu arahan 'orang atasan'? Mereka ini carma sifatnya.

(Carma bermaksud 'cari makan' - istilah Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said)

Sewajarnya, seluruh wartawan bersatu termasuk menanggalkan ideologi politik atau senario ini tidak akan ada titik noktahnya.

Percayalah - selagi ia tidak berubah, maka Hari Kebebasan Media Sedunia di Malaysia adalah 24 jam earth hour .


FAZALLAH PIT penulis pernah berkhidmat di Berita Harian selama 13 tahun dan kini berperanan sebagai editor Suara Keadilan . Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

ADS