NGO anjur demo tuntut janji S'gor Khamis ini

Sekumpulan NGO akan berhimpun secara aman di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Khamis ini bagi menyuarakan bantahan terhadap kerajaan Selangor berhubung janji-janji yang masih tidak tertunai.

Setiausaha Pertubuhan Perikatan Prihatin Malaysia (PPPM) K Vijiya berkata 1,000 orang dijangka menghadiri perhimpunan itu dan menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Vijiya berkata antara yang dipersoalkan adalah mengenai janji-janji calon parti pakatan yang diberikan semasa kempen pilihan raya umum lepas antaranya untuk menyelesaikan masalah penduduk seperti di Kampung Bunga Raya, Subang, membina dua bonggol jalan di hadapan kuil di Sri Muda.

Pengerusi PPPM N Alagan berkata penduduk Kampung Bunga Raya masih tidak mendapat bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu bagi setiap rumah yang dijanjikan oleh kerajaan negeri.

"Kenapa tidak ada masa untuk rakyat tetapi dalam perhimpunan Bersih 3.0 (di ibu negara 28 April lepas) mereka ada masa untuk hadir?" katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.