Akhbar dakwa Arab Saudi buru penganjur BERSIH

Satu laporan akhbar Mingguan Malaysia hari ini mendakwa kerajaan Arab Saudi sedang memburu pemimpin pembangkang yang didakwa menganjurkan perhimpunan pro-BERSIH pada 28 April di kota suci Mekah dan Madinah.

Memetik sumber yang tidak dinamakan, akbar itu mendakwa individu berkenaan diburu kerana "dipercayai menyampaikan ucapan dengan tujuan menghasut rakyat Arab Saudi menyertai gelombang Arab Spring dan bangkit menentang pemerintah."

Laporan itu turut memuatkan dua keping gambar yang menunjukkan kumpulan aktivis BERSIH berkumpul berhampiran Masjidil Haram di Mekah dan juga di perkarangan Masjid Nabawi di Madinah.

Laporan berkenaan turut dihiasi dengan gambar sama yang disiarkan Malaysiakini dan Harakahdaily pada 26 April lalu.

Gambar berkenaan menunjukkan sekumpulan kira-kira 20 aktivis di Mekah dan anggaran 30 lagi di Madinah yang berpakaian baju kuning dan kain rentang BERSIH 3.0.

Mingguan Malaysia bagaimanapun tidak menyiarkan gambar perhimpunan 28 April seperti yang didakwa berlaku.

Laporan itu seterusnya memetik kenyataan seorang penasihat kerajaan negeri Terengganu, Abu Backer Sidek yang mendakwa menyaksikan tindakan peserta berkenaan dalam perhimpunan BERSIH 3.0 di Mekah pada 28 April.

Beliau mendakwa perhimpunan "memalukan" itu akan menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia-Arab Saudi selain menyukarkan Malaysia menambah kuota jemaah untuk menunaikan haji dan menyukarkan pelajar Malaysia mendapat tajaan kerajaan negara itu.

Laporan berkenaan adalah rentetan daripada tulisan satu blog, sel13.com, yang mendakwa risikan Arab Saudi mendapat maklumat bahawa "NGO berkiblatkan Yahudi" terlibat dalam menganjurkan BERSIH 3.0 di negara itu.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.