Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kelam-kabut terminal lapangan terbang KB dipenuhi asap
Diterbitkan:  May 7, 2012 8:24 AM
Dikemaskini: 12:27 AM

Orang ramai dan penumpang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di Kota Bharu kelam-kabut apabila sebahagian bangunan terminal lapangan terbang itu, dipenuhi asap yang keluar melalui lubang pendingin hawa.

    

Keadaan yang dikhuatiri akibat kebakaran itu menyebabkan pihak pengurusan Malaysia Airport Berhad (MAB) mengarahkan orang ramai mengosongkan bangunan terminal itu kira-kira 30 minit bagi membolehkan pihak keselamatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat mengawal keadaan.

    

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Raja Arisan Raja  Ismail berkata hasil pemeriksaan, asap berkenaan didapati berpunca daripada kebakaran kotak suiz pendingin hawa yang terletak di tingkat satu berhampiran  sebuah restoran makanan segera.

    

Katanya kejadian yang berlaku pukul 6.27 petang itu dipercayai daripada litar pintas selepas disambar petir sewaktu hujan lebat di kawasan berkenaan.

    

Raja Arisan berkata pihaknya dengan 10 anggota, termasuk anggota bomba sukarela bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan daripada pihak Pengurusan MAB.

"Setibanya di tempat kejadian, kami membuat pemeriksaan dan pemantauan, mendapati kebakaran kotak suiz penghawa dingin menjadi punca asap keluar,"  katanya.

    

Turut berada di lapangan terbang berkenaan ketika kejadian ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang dijadual  menaiki pesawat ke Kuala Lumpur.

Jurucakap lapangan terbang itu berkata kejadian itu tidak menjejaskan operasi penerbangan di lapangan terbang itu.

- Bernama

ADS