Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO KT desak lucut kerakyatan Ambiga
Diterbitkan:  May 7, 2012 4:26 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Kira-kira 400 wakil pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk tempatan di Kuala Terengganu hari ini berhimpun bagi mendesak pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas ke atas Datuk S Ambiga termasuk melucutkan kerakyatannya.

    

Pengerusi Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak), Datuk Razali Idris yang mengetuai demonstrasi itu berkata, kerajaan khususnya pihak berkuasa didesak bertindak tegas ke atas Ambiga yang bertanggungjawab menganjurkan perhimpunan BERSIH 3.0 tempoh hari sehingga mencetuskan keganasan.

    

bersih pc on jom 100 170112 ambiga Beliau berkata, rakyat tidak sanggup lagi menerima sesiapa sahaja yang menggugat ketenteraman dan keamanan negara khususnya dalam perhimpunan BERSIH 3.0 di ibu negara, baru-baru ini.

"Kita mengutuk tindakan Ambiga (kanan) yang menjadi punca berlaku perpecahan di kalangan rakyat negara ini sekarang ini, dia juga adalah penyokong kuat kepada LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender).

"Justeru itu, kita mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan tegas ke atas Ambiga termasuk lucutkan kerakyatannya. Kita tak mahu orang seperti ini memusnahkan negara dengan cara merusuh," katanya kepada pemberita di Kampung Beladau Kepong, Manir di Kuala Terengganu.

Menurut Razali sebagai susulan, pihaknya merancang mengadakan satu rapat umum besar-besaran tidak lama lagi bagi tujuan yang sama sekiranya Ambiga masih terlepas daripada sebarang tindakan.

Bagaimanapun, katanya, tarikh serta lokasi untuk mengadakan rapat umum yang dijangka disertai pelbagai kaum itu masih belum diputuskan.

    

"Apa yang kita buat (demonstrasi) hari ini sebagai satu permulaan, selepas ini kita akan adakan satu rapat umum besar-besaran yang akan disertai gerombolan besar orang Melayu selain kaum lain bagi memastikan Ambiga dikenakan tindakan sewajarnya," katanya.

- Bernama

ADS