Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS menolak penubuhan panel bebas untuk menyiasat dakwaan insiden keganasan polis ketika menangani perhimpunan BERSIH pada 28 April lalu.

Parti itu juga menolak perlantikan bekas ketua polis negara Tan Sri Hanif Omar mengetuai panel siasatan itu kerana didakwanya akan "bersifat prejudis" terhadap peserta BERSIH.

NONE Naib presidennya Datuk Mahfuz Omar berkata, asas penolakan penubuhan panel itu dibuat kerana mendakwa kerajaan "menolak peranan" Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang mampu berbuat demikian.

"Kita nampak secara jelas kerajaan menolak peranan Suhakam.

"Sedangkan Suhakam (mampu) membuat penyiasatan berasaskan kepada proses demokrasi dan hak asasi manusia," katanya kepada Malaysiakini .

Mahfuz mengulas keputusan kerajaan melantik enam orang panel diketuai Hanif bagi menyiasat insiden kekasaran polis dalam perhimpunan tersebut yang menyaksikan penggunaan gas pemedih mata dan air kimia untuk menyurai peserta.

'Panel alat halalkan tindakan polis'

Mengulas lanjut, ahli Parlimen Pokok Sena turut mendakwa penolakan peranan suruhanjaya dibuat kononnya badan itu "memberi pandangan yang tidak berpihak" kepada kerajaan.

Sebelum ini, suruhanjaya itu mengeluarkan laporan bahawa polis melanggar hak asasi manusia apabila melepaskan tembakan gas pemedih mata ke kawasan kemudahan awam semasa perhimpunan BERSIH 2.0 Julai tahun lalu.

NONE Mengulas pelantikan Hanif, Mahfuz berkata PAS menolaknya kerana kerajaan "memilih orang yang memihak kepada kerajaan dan prejudis terhadap peserta BERSIH 3.0".

Menurut Mahfuz, ia berikutan dakwaan Haniff yang menyatakan wujudnya pihak yang bersimpati kepada komunis dalam perhimpunan itu dan wujudnya dakwaan ada asas untuk menggulingkan kerajaan sedia ada.

"Ini cukup jelas, pelantikan Hanif menunjukkan bahawa panel ini menjadi alat dan kepentingan untuk menghalalkan tindak tanduk polis dan kerajaan terhadap peserta BERSIH," tegas Mahfuz.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan jawatankuasa pemandu BERSIH dan peserta yang didakwa dikasari polis supaya mengemukakan bukti berhubung kekasaran tersebut untuk siasatan Suhakam.

"...walaupun (Suhakam) tidak diminta oleh kerajaan (untuk berbuat penyiasatan) kerana itulah peranan mereka (selama ini)," katanya.

ADS