Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rosnah: Gugur Tunku Aziz tiada demokrasi tulen dalam DAP
Diterbitkan:  May 10, 2012 9:55 AM
Dikemaskini: 7:55 AM

Pengguguran Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim sebagai anggota Dewan Negara hanya kerana mengkritik penganjuran demonstrasi jalanan baru-baru ini jelas menunjukkan parti itu tidak mampu melaksanakan demokrasi dan kebebasan bersuara tulen seperti yang dilaung-laungkannya selama ini, kata Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Katanya, tindakan yang dikenakan terhadap Tunku Abdul Aziz kerana dianggap telah memalukan parti, menunjukkan DAP tidak dapat menerima pandangan berbeza ahlinya walaupun atas dasar pandangan peribadi, dan bukannya mewakili parti.  

    

"Parti yang katanya memperjuangkan demokrasi dan kebebasan bersuara tanpa batasan memperlihatkan bahawa mereka sebenarnya tidak pun mampu melaksanakan apa yang mereka perjuangkan," katanya dalam kenyataan media semalam.

Tunku Abdul Aziz menimbulkan kekecohan dalam DAP baru-baru ini apabila beliau berkata perhimpunan 28 April di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur berkemungkinan mencetuskan kekacauan, yang memang pun berlaku pada hari itu, selepas peserta perhimpunan melanggar halangan polis di Dataran Merdeka.

Setiausaha agung Pemuda MCA Datuk Chai Kim Sen menyifatkan tindakan itu sebagai bukti jelas parti itu hanya mengamalkan kebebasan bersuara dalam lengkongan parti saja.   

"Jika anggota parti tidak dibenarkan menyatakan kebenaran dalam parti, bagaimana anda hendak harapkan mereka bercakap jujur di khalayak," katanya.

    

Sependapat dengan beliau, Pengerusi Pemuda MCA Wilayah Persekutuan Senator Chiew Lian Keng menyifatkan tindakan parti itu serupa dengan Adolf Hitler, yang cuba menyekat semua bentuk pandangan berbeza dalam parti.   

    

"Sebaik saja seseorang anggota menyatakan sesuatu yang bertentangan dengan pendirian parti, DAP akan menyekatnya keluar, tetapi bila seseorang pemimpin menyatakan sesuatu yang berlainan, DAP akan mengutuk kenyataan itu dan menolaknya sebagai pandangan peribadi anggota berkenaan.    

    

"Semua ini menonjolkan hakikat bahawa DAP tidak mampu membenarkan sebarang tindak laku yang 'mengatasi sesuatu', dan Tunku Aziz tidak terkecuali," katanya.

- Bernama

ADS