Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib presiden PKR, N Surendran menyeru pihak berkuasa supaya segera menghentikan siasatan ke atas Johari Mohamad – bekas kerani bank yang didakwa membocorkan maklumat perbankan National Feedlot Corporation (NFC).

Katanya, pihak berkuasa sepatutnya memberi anugerah kepada orang yang membuat pendedahan mengenai penyelewengan wang awam dan bukannya memburu individu berkenaan.

"Sama ada dia pembocor maklumat atau tidak, pokoknya pihak berkuasa memburu orang yang mendedahkan penyelewengan dana awam berjumlah suku juta ringgit dan ini salah.

NONE “Hentikan siasatan ke atas Johari segera kerana jika beliau merupakan pembocor maklumat, beliau sepatutnya diberikan anugerah," katanya dalam sidang media bersama Johari di ibu pejabat PKR hari ini.

Isu berkenaan dipercayai melibatkan salah satu daripada siri pendedahan oleh pengarah strategi parti itu Rafizi Ramli, khususnya berhubung pembelian hartanah bernilai RM10 juta di KL Eco City oleh NFC.

Dakwaan tersebut telahpun dinafikan oleh pengerusi NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang berkata, beliau dan ahli keluarganya tidak pernah menerima pinjaman bank untuk membeli unit hartanah tersebut seperti didakwa Rafizi, awal Mac lalu.

Mohamad Salleh seterusnya membuat laporan kepada polis dan juga kepada bank negara untuk menyiasat Rafizi serta bank berkenaan mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 atas dakwaan  mendedahkan butiran bank dan penarafan kredit NFC dan juga empat lagi syarikat berkaitan.

Rafizi yang juga hadir dalam sidang media hari ini berkata beliau kesan kesal dengan tindakan Mohamad Salleh yang didakwanya memburu Johari yang didakwanya dapat membantu untuk mendedahkan segala penyelewengan NFC.

"(Mohamad Salleh) secara bertubi-tubi membuat aduan dan memberi tekanan kepada Public Bank dan Bank Negara Malaysia untuk mengambil tindakan terhadap Encik Johari Mohamad yang dituduhnya membocorkan maklumat pembelian harta mewah di KL Eco City kepada saya.

"Akibat tekanan ini, tindakan telah diambil oleh Public Bank dan Bank Negara Malaysia terhadap Encik Johari. Beliau yang sudah tidak tahan dengan tekanan dengan tindakan (selama) sebulan, akhirnya membuat keputusan meletakkan jawatan dari Public Bank setelah berkhidmat berbelas tahun," kata Rafizi.

ADS