Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sekali lagi menjalankan tindakan ke atas sekumpulan pengikut Syiah yang mengadakan majlis sambutan ulangtahun kelahiran anak perempuan Nabi Muhammad.

Kumpulan berkenaan kali ini hanya dipaksa untuk menurunkan kain rentang program yang dilihat didakwa mempromosi fahaman tersebut.

NONE Penganjur itu juga dikompaun sebanyak RM250 oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang turut menyertai operasi hari ini.

Kompaun berkenaan adalah berhubung kesalahan mendirikan khemah di kawasan awam untuk program berkenaan.

Ketua penolong pengarah siasatan JAIS, Shahrom Maarof yang mengetuai operasi ke atas program berkenaan bagaimanapun membenarkan majlis itu diteruskan apabila penganjur akur dengan arahan menurunkan kain rentang.

"Majlis boleh diteruskan, cuma perlu turunkan kain rentang. Sebab kita tak mahu nanti ada pihak lain nampak seolah-olah seperti mempromosikan Syiah.

NONE "Jangan ada tanda yang serlahkan macam (majlis sambutan ulangtahun) 'kelahiran Fatimah Az-Zahrah'. Benda ni akan buat orang tertanya-tanya majlis apa ini.

"Buat majlis boleh tapi jangan serlahkan apa-apa," katanya ketika mengadakan perbincangan bersama wakil jawatankuasa majlis itu, Mohd Nassir Sahar.

Perbincangan yang diperhatikan Malaysiakini itu turut dihadiri empat orang penguatkuasa MPS.

JAIS sebagai 'tetamu'

Ditemui pemberita selepas itu, Mohd Nassir berkata beliau menyambut baik kedatangan penguatkuasa berkenaan ke program tersebut.

NONE Namun, Hauzah Ar Ridha akan tetap berusaha untuk membersihkan nama pertubuhan tersebut, selepas tindakan demi tindakan yang dikenakan ke atas mereka kerana didakwa merupakan kumpulan ajaran sesat, katanya.

"Selepas peristiwa penangkapan sebelum ini, ia beri tanggapan negatif pada Syiah. Tapi sekarang, kita nak bersihkan balik, kita telah telah menghantar surat pada JAIS dan MAIS supaya kaji balik enakmen dan fatwa yang mengatakan Syiah ialah ajaran sesat.

"Kami akan sentiasa membuat susulan dan akan mengumpul segala dokumen. Kami juga ada menghantar surat kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan OIC (Pertubuhan Persidangan Islam) supaya meyakinkan (kerajaan) bahawa Syiah bukan ajaran sesat," katanya.

Turut ditemui ialah pengerusi Hauzah Ar Ridha, Mohd Kamilzuhairi Abd Aziz yang menyifatkan kehadiran penguatkuasan MPS dan JAIS kali ini sebagai satu jalinan silaturrahim.

Kes didiamkan

"Kedatangan JAIS, MPS sebagai satu agenda silaturrahim. Kita sambut mereka sebagai tetamu bagi pihak puteri Rasulullah," katanya.

Mohd Kamilzuhairi merupakan antara empat individu yang ditahan JAIS pada Mei tahun lalu atas dakwaan menyebarkan ajaran mazhab Syiah ketika mengadakan satu majlis jamuan sama di Taman Sri Gombak.

"Untuk kes sambutan Maulud 2011, kes tersebut didiamkan begitu sahaja," katanya ketika dihubungi petang ini.

Terdahulu, beliau juga ditahan pada Disember 2010, bersama lebih 100 yang lain dalam satu operasi di kawasan sama kerana didakwa terlibat dengan ajaran Syiah.

Kes berkenaan masih berlarutan di mahkamah, katanya.

Fatwa negeri Selangor menyatakan bahawa Syiah merupakan ajaran yang terkeluar daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Penguatkuasaan ke atas perkara itu dibuat melalui Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

VIDEO | 5.20 min

ADS