Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar hari ini menyokong dakwaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa terdapat unsur-unsur semasa perhimpunan BERSIH 3.0 yang mahu menyebabkan kematian.

NONE Ini, katanya, berdasarkan kepada bukti video yang dikumpul oleh polis semasa perhimpunan tersebut.

Khalid berkata polis mempunyai klip video bahawa memang ada pihak yang mahu kematian berlaku.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata, bukan menteri sahaja yang berkata demikian, tetapi pihak polis juga mempunyai bukti.

"Memang betul. Memang kita ada merakamkan satu klip, yang ada satu orang tu cakap... Kalau lima orang mati pun tak apa," katanya. 

Klip itu, katanya, menunjukkan seorang individu membuat kenyataan mengenai kematian semasa bantahan pada 28 April.

NONE Khalid berkata, pihak media dialu-alukan untuk mendapatkan klip tersebut dari pihak polis untuk mengenal pasti individu tersebut.

Bagaimanapun, katanya, tiada tindakan telah diambil terhadap individu tersebut, kerana hanya dengan mengatakan perkataan tersebut, tidak menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang.

"Belum lagi (tangkap). Tidak ada apa-apa kesalahan pun, dia cuma cakap saja...," katanya.

Ketika menjelaskan kemudiannya mengenai video itu, Khalid berkata, polis bimbang, dalam situasi tegang seumpama itu, orang ramai boleh menjadi emosional dan boleh membawa kepada situasi yang mengancam nyawa.

Dalam satu pertemuan dengan para pelajar pada 12 Mei, Hishammuddin telah dilaporkan berkata kebimbangan utamanya  semasa BERSIH 3.0 ialah kemungkinan berlaku kematian atau kecederaan.

Bagaimanapun, Hishammuddin dipetik dalam portal berita The Malaysian Insider sebagai berkata, beliau lega kerana ianya tidak berlaku, tetapi menegaskan bahawa terdapat beberapa pihak yang mahu ianya berlaku.

Sementara itu, Khalid berkata sehingga tengah hari ini sudah 21 orang telah ditangkap.

"Ada yang serah diri, ada yang ditangkap, sudah 321 orang. Jadi memang bagi sampai esoklah.

"Kita pun dah mula kenal pasti mereka melalui gambar-gambar. kalau mereka tak datang serah diri, kami akan carilah," katanya.

[Baca berita penuh]

ADS