Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Peguam dari pusat komuniti guaman Pusat Rakyat Loyar Burok, Edmund Bon mempertahankan hak sekumpulan veteran tentera yang mengadakan demonstrasi di hadapan kediaman pengerusi BERSIH, Datuk S Ambiga hari ini.

Katanya, beliau mempertahankan hak kumpulan tersebut untuk mengadakan demonstrasi, walau tidak bersetuju dengan mesej yang dibawa oleh kumpulan tersebut.

"Saya tidak setuju dengan mesej yang mereka bawa, tapi semua rakyat ada hak untuk berdemonstrasi. Itu hak kebebasan bersuara dan berkumpul," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

NONE Jelasnya beliau tidak bersetuju kerana berpendapat kumpulan itu tidak mempunyai mesej untuk kepentingan umum.

"Saya tak bersetuju kerana saya faham mesej itu hanya untuk memalukan Ambiga. Saya tidak fikir mereka mempunyai mesej untuk kepentingan awam yang jelas," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kumpulan tersebut berhak menjalankan demonstrasi itu, "selagi tidak melakukan keganasan."

"(Perhimpunan) itu dibuat di atas jalan awam, bukannya di dalam rumah persendirian. Jadi bagi saya tak ada masalah," katanya.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan 15 orang daripada Persatuan Veteran Tentera Malaysia yang mengadakan demonstrasi dengan gimik "senaman punggung" di hadapan kediaman Ambiga pagi ini.

Kumpulan itu membuat gimik demonstrasi senaman dengan membongkok dan menggoyang-goyangkan punggung mereka ke arah kediaman Ambiga selama kira-kira 15 minit, sebelum menyerahkan satu poster kepada bekas presiden Majlis Peguam itu pagi ini.

ADS