Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nama Islam: Mufti kecewa akhbar terbalikkan kenyataan
Diterbitkan:  May 15, 2012 4:02 PM
Dikemaskini: 1:15 PM

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata beliau kecewa dengan laporan akhbar yang didakwa "menterbalikkan" kenyataannya berhubung isu sama ada Majlis Fatwa Kebangsaan wajar bermuzakarah membincangkan penggunaan nama Islam oleh PAS.

Katanya, laporan Berita Harian yang menyebut beliau bersetuju dengan cadangan itu sepatutnya menyebut beliau menyerahkan hal itu kepada Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dulu berdasarkan kekananannya dalam MFK.

dr juanda jaya perlis mufti candidate 081106 "Mereka terbalikkan kenyataan. Patut mereka letak ana (saya) serahkan pada Harussani cadangan bawa ke (majlis) fatwa dulu.

"Kemudian (baru sebut) bukan hanya PAS, semua orang ada nama Islam kenalah dikaji," katanya ketika diminta mengesahkan kesahihan laporan itu hari ini.

Berita Harian hari ini melaporkan Dr Juanda ( kiri ) sebagai amat bersetuju dengan saranan itu kerana banyak dakwaan organisasi menggunakan nama Islam tetapi mencemari agama itu.

Beliau kemudiannya dilaporkan menyerahkan hal itu kepada Harussani supaya mempertimbangkan saranan itu.

Perlu bincang semua organisasi

Bercakap kepada Malaysiakini , Dr Juanda berkata, beliau kecewa dengan "perangai hodoh" wartawan berkenaan.

"Mufti pun korang nak perlekehkan. Apa nak jadi dengan Melayu?" katanya lagi.

azlan Sementara itu, mengulas isu itu, Dr Juanda menegaskan bahawa muzakarah itu harus melibatkan semua organisasi menggunakan nama Islam dan bukannya PAS semata-mata.

Dalam SMS kepada akhbar itu sebelum ini, tambah Dr Juanda, beliau juga berkata menyerahkan kepada kebijaksanaan Harussani kerana tokoh agama itu paling arif dan paling banyak hubungan dengan PAS.

Harussani kelmarin dilaporkan berkata, perjuangan PAS kini menyeleweng daripada matlamat asal serta menyalahgunakan agama Islam demi kuasa dan kerusi politik.

Berikutan itu, beliau bersedia mencadangkan kepada MFK supaya mempertimbangkan saranan diadakan muzakarah bagi membincangkan kewajaran parti itu menggunakan perkataan Islam dalam nama parti.

Berita Harian pertahan laporan

Sementara itu, Berita Harian dalam kenyataannya malam ini mempertahankan bahawa laporannya berhubung isu itu tidak disalah lapor.

Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian Mahfar Ali berkata, kenyataan Dr Juanda kepada Malaysiakini bahawa kenyataannya diterbalikkan boleh mengelirukan pembaca seolah-olah akhbar itu tidak membuat laporan berdasarkan fakta sebenar.

"Bagaimanapun, Dr Juanda tidak membuat permintaan khusus kepada wartawan Berita Harian supaya jawapan soalan pertama itu didahulukan dalam artikel berkenaan.

"Oleh itu wartawan Berita Harian menulis artikel berkenaan mengikut keutamaan nilai berita ( news value ) berdasarkan isu dan soalan yang dikemukakan kepada beliau," katanya.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini , Mahfar juga berkata akhbar itu amat kesal dengan kenyataan Dr Juanda yang melemparkan perkataan kesat dengan mendakwa wartawan berkenaan "perangai hodoh".

Berita Harian juga melampirkan petikan penuh SMS antara wartawan Berita Harian dan Dr Juanda pada 14 Mei seperti berikut:

Wartawan : akum dr juanda..zana dari berita harian..saya nak tya komen dr mengenai saranan ngo supaya perkataan Islam digugurkan dari PAS kerana mufti perak tegaskan perjuangan parti itu sudah menyeleweng dan menyalah gunakan Islam utk kepentingan politik..really appreciate ur comment dr..tq..

Dr Juanda : Wsm. Saya srahkn kpd kbijksnaan TanSri H dlm hal ini mmndngkn dia adlh ahli paling senior, pling arif dlm hal ini n byk enggagement dgn Pas. Hal ini cukup bagus

Wartawan : Dr..adakah dr bersetuju dgn pendapat tan sri harussani supaya hal menggugurkan perkataan islam dari PAS ini dibawa ke muzakarah fatwa?

Dr Juanda : Amat setuju dan semua organisasi yg bawa nama Islam juga wajar dikaji jika ddapati mrk mencemarkan nama Islam mlalui orgnsasi mrk. Byk salahguna nama Islam skrg

Wartawan : Adakah dr merasakan perjuangan PAS sememangnya sudah menyeleweng dari matlamat asal menegakkan Islam dan apa saranan dr kepada pemimpin mereka? (Tidak menjawab SMS).

ADS