Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Peniaga kereta mewah dan pemilik restoran terkenal Sekinchan Ikan Bakar Datuk Jamal Md Yunus yang mengetuai protes anti-BERSIH depan rumah Datuk S Ambiga menegaskan beliau masih peniaga pasal malam Jalan TAR di Kuala Lumpur.

Presiden Majlis Bertindak Peniaga-peniaga Kuala Lumpur (MBPKL) itu berkata, walaupun lebih dua dekad, keadaan masih tidak berubah dan beliau masih membayar lesennya hingga ke hari ini.

NONE "Pada 25 tahun dahulu saya terdiri daripada peniaga kaki lima. Dan sehingga sekarang lesen pasar malam saya di Jalan TAR masih lagi hidup, masih lagi ada.

"Dan kami bayar lesen tersebut," katanya ketika diminta mengulas perkara itu.

Sebelum ini, warga maya mempertikai tindakan Jamal mengetuai protes 60 peniaga kecil yang mahu membuka gerai di hadapan rumah Ambiga sebagai protes himpunan BERSIH.

Mereka mendakwa Jamal bukan peniaga 'kecil' kerana memiliki rangkaian restoran ikan bakar dan permit mengimport kereta.

'Berniagalah di luar kedai saya'

Mereka juga percaya Jamal akan 'menjamin' gerai-gerai yang akan dibuka di hadapan rumah Ambiga jika mereka tidak untung.

Dalam sidang media di Kuala Lumpur semalam, Jamal berkata, peniaga kecil jika diberi sokongan boleh maju tetapi jika berlangsungnya peristiwa seperti BERSIH perniagaan apa pun tidak boleh berlangsung.

NONE "Seperti saya, walau jalankan perniagaan jual kereta dan sebagainya, tapi pada BERSIh 1,2,3, kita tak boleh berniaga," katanya.

Ditanya sekali lagi sama ada beliau benar-benar mempunyai gerai di Jalan TAR, Jamal menjawab beliau menjalankan pelbagai perniagaan.

"Termasuk rakan-rakan lain, semuanya entrepreneur . Tak boleh buat satu perniagaan sahaja," katanya lagi.

Sementara itu, ditanya ancaman pengguna Internet yang menyeru pelbagai pihak turut berniaga di depan kedainya sebagai reaksi balas, Jamal kelihatan hanya berserah.

"Terpulang. Tapi jangan tutup jalan sudahlah...Nak buat, buat. Berani buat berani tanggung... Bagus juga sebenarnya. Datanglah. Tapi jangan masuk dalam kedai. Nak berniaga, berniagalah (di luar)," kata Jamil.

Nafi didalangi Umno

Sebuah laman Facebook sebelum ini memaparkan gambar Jamal bersama kereta Ferrari menyaksikan beberapa pengguna mengancam untuk memboikot restoran ikan bakarnya.

NONE Mereka juga mencadangkan agar orang ramai membuka 'pusat jualan kereta' di hadapan premis perniagaan Jamal sebagai reaksi balasnya yang mahu membuka gerai di hadapan rumah Ambiga.

Sementara itu, ditanya tentang tanggapan Umno mendalangi bantahan mereka terhadap BERSIH, Jamal menafikannya.

"Kami terdiri daripada peniaga-peniaga. Tiada pihak kerajaan atau politik di belakang kami. Macam saudara ini berniaga sendiri, saya berniaga sendiri," jelas Jamal.

"Jadi masing-masing ada perniagaan yang kami terjejas masa perhimpunan haram tersebut. Dulu (kami) diam- diam. Sekarang tak boleh tahan diam.

"Kalau diam, mungkin ada lagi (perhimpunan) BERSIH selepas ini."

ADS