Manfaatkan setahun tanpa Irshad Manji

       

ULASAN Sekarang ini hangat diperkatakan tentang kedatangan seorang insan yang bernama Irshad Manji, yang dikatakan menyokong secara terbuka idea lesbian, gay, biseksual, transeksual (LGBT) dan Islam Liberal.

Tujuan kedatangan beliau (yang dikhabarkan) untuk memberikan ucapan di universiti dan beberapa tempat lain serta melancarkan bukunya.

Namun sebelum beliau datang dan menjejakkan kaki lagi, beliau sudah diserang dengan keganasan di Indonesia, dan telah mendapat tentangan dan desakan untuk membatalkan program beliau di Malaysia.

Kepada yang mendesak untuk menghalang, saya yakin ada yang telah mengkaji serba sedikit idea, tulisan dan ucapan beliau selama ini.

Namun berapa ramai yang sudah betul-betul mengambil masa yang panjang mengkaji atau sekurang-kurangnya membaca sebelum membuat kesimpulan tentang beliau?

Batas kebebasan

Kebebasan bersuara diiktiraf dalam demokrasi dan juga dalam Islam. Malahan, rakyat berhak menasihati pemimpin dalam Islam sepertimana kisah-kisah para sahabat. Namun, kebebasan bersuara ada had dan etikanya.

Hatta di negara-negara Barat, kita masih mempunyai batasan dalam melaungkan suara.

Di Amerika Syarikat umpamanya, pastinya ada isu-isu yang sensitif yang tidak boleh disentuh seperti membangkitkan sentimen keganasan World Trade Center (WTC).

Malahan di negara Barat, isu Holocaust juga tidak boleh dibangkitkan sesuka hati kerana akan mendatangkan sensitiviti.

Maka sebab itu, kebebasan bersuara datang dengan implikasinya yang tersendiri dan seseorang itu harus lebih sensitif dalam menyentuh isu yang berkaitan norma-norma masyarakat di tempat yang dia ingin hadiri.

Sebagaimana dia ingin diterima oleh masyarakat, dia juga harus hormati pendirian majoriti masyarakat tersebut. Bukan bermaksud tidak boleh menyampaikan ideanya, tapi perlu dimulakan dengan mengakui dan akur bahawa masyarakat di tempat tersebut berpegang kepada idea yang berbeza dengannya.

Secara umum, jika benar Manji mahu diterima dengan lebih baik di Malaysia, beliau lebih dahulu sepatutnya tidak mengeluarkan kata-kata kontroversi yang menyebabkan bangkitnya sentimen-sentimen kebencian.

Beliau juga tidak harus cepat melatah dengan sikap manusia yang agresif dan emosional jika beliau benar-benar profesional dalam membawa agendanya.

Sebagaimana beliau melabel Malaysia sebagai ignorant dan memandang rendah reputasi rakyat Malaysia, dengan mudahnya membuat kesimpulan sebegitu, maka tidak ada bezanya beliau dan penentangnya.

Kebebasan bersuara yang berasaskan sentimen, emosi apatah lagi serangan peribadi yang sensitif dan memalukan seharusnya dibanteras. Di Malaysia, pelaksanaan kebebasan bersuara ini agak tempang.

Dalam sesetengah keadaan, pihak berkuasa cuba menghalang dan menyekat pihak-pihak tertentu untuk memberi kuliah agama sedangkan pihak terlibat sudah diketahui dan diakui akan keilmuannya.

Juga, suara-suara yang menyatakan hak rakyat seperti BERSIH juga seolah-olah dianaktirikan oleh pihak berkuasa.

Dalam masa yang sama, kebebasan bersuara yang melampau, yang menyerang peribadi dan memalukan, yang membuka aib seolah-olah dihalalkan oleh pihak berkuasa.

Ada tuduhan-tuduhan tanpa bukti didedahkan dalam media-media perdana sedangkan yang tertuduh tak diberi peluang untuk menafikan dan mendatangkan bukti membela dirinya.

Hakikatnya, ruang bersuara di Malaysia perlu diisi dengan perbanyakkan manusia yang menyebarkan kefahaman dan idea yang baik, yang membawa kefahaman Islam dan menyedarkan manusia tentang nilai kebenaran dan menguatkan jati diri masyarakat.

Pendekatan menangani Manji

Jika kita teliti dalam sirah nabi SAW, dalam banyak keadaan Rasulullah memulakan pendekatan nasihat dan berhujah sebelum pendekatan menghalang dan mencegah.

Rasulullah SAW diberikan kelebihan untuk mengetahui siapakah di kalangan yang duduk dalam kelompok orang-orang Muslim itu adalah orang munafik, namun tetap Rasulullah SAW membiarkan mereka berada dalam kelompok Muslim dan tidak menghalau atau mengusir mereka.

Apatah lagi kita yang tidak tahu isi hati seseorang dan orang itu juga masih mengisytiharkan dirinya sebagai Muslim. Dan beliau datang ke Malaysia bukan membawa bala tentera untuk memerangi orang-orang beriman, tapi ingin memberi ucapan dan idea kepada masyarakat umum.

Sebelum kita cuba untuk menghalang, kita harus beri peluang untuk beliau didengari dahulu ideanya, kemudian baru kita tahu apa idea dan pemikiran yang beliau pegang.

Jika bertentangan, maka jalan debat dan perbincangan terbuka perlu mendahului halangan dan tindakan undang-undang. Boleh jadi Manji mengurangkan bicaranya yang sensitif di negara ini, jika kita mendekatinya dengan betul, siapa tahu.

Ketika zaman kegemilangan Islam, pemerintah Islam dihormati oleh bukan Muslim kerana ketokohan dan sikap hormat mereka terhadap hak orang-orang bukan Muslim dan bukan hanya kerana kekuatan tentera dan kekerasan undang-undang.

Dalam banyak keadaan di Malaysia, pihak berkuasa mampu menganjurkan pelbagai program atas nama keagamaan.

Sebagai contoh, kalau ada pihak yang sanggup menganjurkan dan mengumpulkan ulama Umno dalam forum untuk memberitahu bahawa PAS "Parti Ajaran Sesat", takkanlah kita tidak ada kuasa dan kemampuan untuk menganjurkan debat?

Manji hanya beberapa hari di Malaysia. Kerajaan Malaysia ada beberapa ratus hari lagi dengan rakyat Malaysia untuk mengisi ruang kosong dan mendidik serta memberi ideologi kembali kepada masyarakat Islam.

Kita mempunyai peruntukan, ruang dan peluang yang lebih besar. Cuma kita banyak membazir masa berbalah isu cabang dan menyekat manusia-manusia yang tidak sealiran dengan kita.

Kita risau agenda liberalisme beliau akan disebarkan dalam masyarakat. Hakikatnya, tanpa kehadiran beliau pun, seseorang tetap boleh terpengaruh dengan apa-apa agenda sahaja hatta jika hanya duduk di rumah sekali pun kerana dunia hari ini, informasi tanpa sempadan.

Satu lagi sikap kita yang perlu diperbetulkan, bila ada pihak tidak bersetuju menghalang program Manji, tidak semestinya pihak itu inginkan gejala dan pemikiran liberalisme yang tidak berpaksikan kepada nas syarak terus berleluasa.

Membantah untuk diadakan program bukannya satu-satu sahaja cara untuk menyatakan ketidaksetujuan dengan idea yang dibawa oleh Manji (jika betul ideanya salah).

Masalah sesetengah orang, bila kita tidak bersama mereka dalam sesuatu hal, maka seolah-olah kita ini tidak kuat iman dan tidak sayangkan Islam. Maaf, tapi ini adalah cara fikir yang saya tidak setuju.

Sebagai penutup, kita harus sedar bahawa dalam masyarakat, sesuatu reaksi yang agresif melambangkan ketakutan kita. Sedangkan kalau kita berada di pihak benar, kita perlu bertanding di pentas yang sama dan berani berdepan sebagai anak jantan.

Bagaimana hanya seorang manusia yang hanya beberapa hari di Malaysia mampu membuat penyebaran fahaman beliau, sedangkan kita yang bertahun-tahun disediakan dengan kuliah agama, khutbah dan pelbagai lagi rancangan televisyen dan radio.


AHMAD HIDAYAT HASNI MAD ISA mahasiswa perubatan tahun keempat di Universiti Sains dan Teknologi Jordan. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini .

Malaysiakini
terkini untuk anda