Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ku Nan: Hentikan rancangan berniaga di rumah Ambiga
Diterbitkan:  May 24, 2012 8:05 AM
Dikemaskini: 1:15 AM

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menafikan sekeras-kerasnya bahawa parti itu dan Barisan Nasional (BN) terlibat dengan rancangan membuka gerai di hadapan rumah Datuk S Ambiga di Bukit Damansara selama dua hari mulai hari ini.

    

"Saya tegaskan bahawa BN dan Umno tidak terlibat dalam kumpulan itu apatah lagi untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak khususnya rakyat Malaysia yang cintakan keamanan," kata Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN dalam kenyataan semalam.

    

Beliau meminta kumpulan peniaga yang merancang untuk berniaga di kawasan kediaman Pengerusi Bersama BERSIH itu menghentikan rancangan mereka kerana ia bukan hasrat keseluruhan rakyat Malaysia yang sayangkan keamanan dan kesejahteraan negara.

    

Ahad lepas, sekumpulan 60 peniaga yang menamakan diri mereka 'BERSIH 4.0 - Mencucikan Bersih 1, 2, 3' mengumum rancangan untuk berniaga di kawasan kediaman Ambiga selama dua hari mulai hari ini bagi menampung kerugian mereka akibat perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lepas.

    

Tengku Adnan turut menafikan tuduhan bahawa BN dan Umno mempunyai kaitan dengan beberapa insiden seperti penjualan daging di perkarangan kawasan individu yang tidak memakannya, dan aksi menunjukkan punggung yang menyentuh sensitiviti sesetengah pihak baru-baru ini.

    

Beliau turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya agar rancangan membuka gerai di hadapan rumah Ambiga tidak diteruskan.

    

Beliau berkata rakyat tidak perlu terikut-ikut dengan tindakan mana-mana pihak yang mahu menghancurkan Malaysia dan meminta agar mereka memahami konsep Wasatiyyah atau kesederhanaan yang disaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

- Bernama

ADS