Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penerbit timbang cabar tindakan rampas buku Irshad
Diterbitkan:  May 24, 2012 4:57 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

Penerbit buku kontroversi, Allah, Kebebasan dan Cinta , ZI Publications menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) atas rampasan yang dijalankan di sebuah kedai buku.

Pemilik dan pengarah syarikat tersebut Ezra Zaid berkata selain tindakan saman, syarikat itu juga bercadang untuk membuat semakan kehakiman atas rampasan yang dibuat "tanpa mengikut lunas undang-undang" itu.

NONE Katanya, setakat ini belum ada sebarang pengumuman dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri untuk mewartakan larangan ke atas Allah, Kebebasan dan Cinta mahupun edisi asal buku tersebut dalam bahasa Inggeris, Allah, Liberty and Love yang diterbitkan sejak Jun tahun lalu.

"Disebabkan itu, kedua-dua penerbitan ini sah di sisi undang-undang dan boleh dijual oleh semua kedai-kedai buku dan dibeli oleh pembaca seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ezra berkata, ketika rampasan itu dijalankan di sebuah kedai buku popular di Bangsar malam tadi, JAWI memberitahu bahawa tindakan ke atas buku tulisan Irshad Manji itu dibuat mengikut Seksyen 13 Akta 559 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

NONE "Sehingga kini, ZI Publications tidak dimaklumkan bahawa penerbitan buku ini bertentangan dengan mana-mana undang-undang agama.

"Oleh itu, kami terbitkan buku ini dalam semangat yang terbuka – kebetulan pula, sifat sedemikian itu sendiri digalakkan oleh agama Islam," kata Ezra lagi.

Tambahnya, penerbitan buku itu juga dibuat atas dasar kebebasan bersuara seperti dijamin Perkara 10 dalam Perlembagaan Malaysia.

"Seksyen 13 Akta 559 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 tersebut adalah bercanggah dengan undang-undang Perlembagaan Persekutuan memandangkan Perlembagaan tidak membenarkan Kerajaan Negeri untuk menggubal undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara dan berekspresi," katanya.

ADS