Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Francais dijangka sumbang RM22b pada KDNK
Diterbitkan:  May 26, 2012 3:17 PM
Dikemaskini: 7:18 AM

Industri francais negara dijangkakan dapat memberi sumbangan sebanyak RM22.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berucap pada majlis perasmian 1Malaysia Stesen Francais@JB di Jalan Segget, di Johor Baharu malam tadi, Ismail Sabri berkata industri berkenaan memberikan sumbangan sejumlah RM21.48 bilion atau 2.5 peratus kepada KDNK pada tahun lepas.

"Di negara asing, sistem francais telah diiktiraf sebagai kaedah yang amat popular dan berkesan untuk mengembangkan sesuatu perniagaan sama ada di dalam atau di luar negara selain menjana dan menyumbang kepada ekonomi negara.

"Kerajaan masih berusaha untuk mengembangkan jenama francais ke luar negara dan sehingga kini sebanyak 46 jenama francais tempatan Malaysia telah berkembang ke 50 negara asing dengan sebanyak 1,402 outlet," katanya.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi Johor Datuk Maulizan Bujang, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) Burhan Amin dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Ismail Ibrahim.

Ismail Sabri berkata sebanyak 30 perniagaan francais didaftarkan di seluruh Johor ketika ini dengan 27 daripadanya merupakan francaisor tempatan manakala tiga lagi francaisor asing.

Beliau berkata sektor makanan dan minuman merupakan paling banyak berdaftar iaitu 11 perniagaan dengan francais yang terkenal adalah Daily Fresh dari Simpang Renggam serta Marry Brown, yang kedua-duanya mempunyai hampir 500 outlet di luar negara.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan dalam pada itu telah memperkenal dan membangunkan sistem francais di negara ini bagi membolehkan lebih ramai usahawan dari golongan rendah dan sederhana menceburi dalam bidang perniagaan francais terutamanya francais berskala kecil atau mikro.

Beliau berkata ini kerana perniagaan melalui sistem francais terutamanya sebagai francaisi merupakan perniagaan yang berisiko rendah berbanding dengan memulakan perniagaan sendiri.

"Kerajaan sedar ramai yang risau untuk melabur dalam bidang keusahawanan francais kerana beranggapan ianya berisiko yang amat tinggi dan memerlukan modalyang besar yang tidak mampu disertai oleh golongan berpendapatan rendah.

"Sebenarnya anggapan itu tidak benar sama sekali kerana industi francais tempatan di negara ini sentiasa terbuka untuk semua golongan sama ada yang berpendapatan tinggi, sederhana mahupun rendah asalkan mereka mempunyai kemahuan dan tekad untuk berjaya di dalam perniagaan dan peluang yang ada," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS