Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Utusan siar puisi pro-Mahathir Pak Samad
Diterbitkan:  May 27, 2012 12:33 PM
Dikemaskini: May 28, 2012 12:09 PM

Akhbar Mingguan Malaysia menyiarkan semula satu puisi oleh pengerusi bersama BERSIH Datuk A Samad Said berhubung kepemimpinan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Puisi September 2003 berjudul Dirgahayu Mahathir disiarkan semula ekoran "perubahan ketara" sikap A Samad yang kini "asyik bersama para pemimpin pembangkang", menurut tulisan pengarang akhbar tersebut dalam ruangan Bisik-bisik Awang Selamat.

"Awang difahamkan, sebahagian teman rapat beliau dari kalangan dunia sastera merasa malu. Mereka yakin Pak Samad dipergunakan oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda serong.

"Khabarnya beliau bertindak demikian kerana mempunyai kekecewaan peribadi dan hal tertentu yang tidak tertunai.

"Maka ia menjadi titik tolak bermula era segala-galanya tidak betul dan menyalahkan kerajaan," menurut tulisan dalam edisi Ahad Utusan Malaysia itu lagi.

Mahathir juga kini tidak terlepas daripada menjadi sasaran kritikan A Samad, menurut tulisan Awang Selamat itu lagi yang mengaku "belum tergamak untuk menghentam Pak Samad."

"Tapi maafkanlah Pak Samad. Seperti kata pujangga, bukan semua pejuang akan sampai kepada destinasi perjuangan sebenar. Ada yang akan tersasar dan melencong di pertengahan jalan."

 

ADS