Seorang saksi meminta penganjur memulangkan satu kamera yang disyaki hilang ketika kemalangan dalam satu acara perlumbaan mengakibatkan 17 orang cedera pada Sabtu lalu.
Saksi berkenaan, Mohd Aidiel Aiezad Ashari berkata penganjur perlu mengembalikan kamera tersebut sekiranya ia memang berada di dalam simpanan pihak berkenaan.
Mohd Aidiel berkata, sepupunya Mohd Nor Faiz Sakariah mengambil gambar menggunakan kamera berkenaan ketika perlumbaan drag yang berakhir dengan tragedi itu berlangsung.
Mohd Aidiel yang turut mengalami kecederaan dalam kemalangan itu berkata, sepupunya itu kemudian jatuh pengsan apabila dilanggar kereta berkenaan yang terbabas dalam perlumbaan itu.
"Sepupu saya ada ambil gambar sebelum rempuhan. Tapi dia pengsan dan bila terjaga dalam kereta, dia tengok kamera dia hilang sedangkan sebelum itu, dia pegang.
"Ada juga yang kata penganjur ambil untuk simpan. Tapi bila saya telefon (penganjur), tak berangkat.
"Jadi kami buat laporan polis. Saya harap, kalau betul penganjur ambil, pulangkan kembali kamera itu," katanya lagi ketika ditemui di Hospital Putrajaya hari ini.
Beliau yang menerima rawatan atas kecederaan di kakinya akibat kemalangan berkenaan membuat laporan polis ke atas penganjur bersama acara tersebut, MUSC Motorsport.
Sementara itu, naib presiden PKR yang turut ditemui di hospital berkenaan hari ini berkata, penganjur perlu bertanggungjawab atas kejadian berkenaan.
"(PKR) tak mahu perkara ini berulang. Penganjur perlu bertanggungjawab dan mungkin perlu mengembalikan (kamera) atau memberi maklumat kepada mereka yang terlibat," katanya.
