Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menyifatkan cadangan kerajaan untuk memberi akses adil kepada parti politik untuk menyiarkan manifesto mereka di ruang media sebagai rancangan "dangkal."
BERSIH 2.0 dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, cadangan untuk membenarkan semua parti menyiarkan manifesto pilihan raya itu juga langsung tidak mendalami tuntutan mereka untuk "akses bebas dan adil kepada media" itu.
Tambahan pula apabila menteri penerangan Datuk Seri Rais Yatim berkata manifesto berkenaan boleh disiarkan mengikut nilai beritanya, menurut kenyataan itu lagi.
"Ini tidak betul. Pengundi perlu mendapat akses kepada maklumat yang mencukupi untuk membuat keputusan bermaklumat ketika pilihan raya dan media memain peranan kritikal untuk memudahkannya," kenyataan itu dipetik.
Gabungan NGO tersebut seterusnya mencadangkan pindaan berikut ke atas Akta Pilihan Raya dan Akta Kesalahan Pilihan Raya:
- Menetapkan hak untuk menjawab semua dakwaan yang ditimbulkan.
- Akses adil kepada media swasta untuk semya parti dan calon bertanding, dan menetapkan akses adil untuk iklan berbayar.
- Menetapkan media milik kerajaan untuk memperuntuk waktu siasaran percuma sewajarnya untuk parti dan calon yang bertanding, termasuk untuk debat di siaran langsung televisyen.
- Satu garis panduan kepada media dalam membuat liputan pilihan raya.
- Pindaan kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Komunikasi dan Multimedi 1998 berhubung kawalan kandungan dan pemilikan serta pemansuhan Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1972.
