Acara ini dianjurkan oleh Beyond Pressure - sebuah organisasi seni pertunjukan di Yangon - bersama Buka Kolektif (penganjur Buka Festival, KL) dan Findars Art Space (Ruangan Kendalian Seniman Visual) serta disokong oleh Sekeping Tenggiri (KL). Melalui Beyond Pressure, program ini mendapat dana Open Society Institute.
Kami sedang melakukan sebuah projek seni dengan nama Open Relations In A Time of Transition, suatu program pertukaran kesenian di antara dua buah negara dalam peralihan ini.
Jam kira-kira 8.30 pagi Khamis 24 Mei 2012. Aku sedang melakukan seni pertunjukan berjangka panjang (durational performance), sebuah pertunjukan dengan judul Dedication To The Four Master of Umbrella – cerita kewujudan cahaya, kerterkaitannya dengan api, pada lampu pelita. Tindakan gerak tubuhku agak statik, aku berdiri, di tebing sungai Irawaddy, di belakangku tembok kota kuno Istana Manadalay.
Di tangan kiriku memegang lampu pelita minyak tanah dan di tangan kananku memegang payung yang terbuka, memayungi sebuah kerusi. Aku cuba untuk berada wujud dalam keadaan itu sepanjang acara pertunjukan ini yang melibatkan para seniman Malaysia dan Burma. Aku memulakan acara sebagai peserta pertama, diikuti dengan pertunjukan dari Lwin Maung, seniman muda dari Yangon, Burma, yang memberikan wisel atau terompet anak-anak kecil yang dibuat daripada straw plastik yang digunting, bila dihembus, menghasilkan bunyi seakan-akan, “perettt, pettt!”.
Kehadiran khalayak yang ramai, menambah kegembiraan suasana apabila mereka merespon dengan meniup terompet plastik itu. Selanjutnya, Pengetua Alin Dagar Art School, Suu Myint Thein, melakukan pertunjukannya, dengan membawa lampu suluh dan memegang penyapu. Sambil menyuluh dia menyapu permukaan kaki lima di pinggir tebing sungai.
Suu pernah menjadi tenaga pengajar di State School of Fine Art, Mandalay di antara 1995-2008, sebelum menubuhkan sekolah seninya sendiri. Karya-karya seninya meliputi penciptaan lukisan, arca, instalasi dan seni pertunjukan. Karya-karya arcanya pernah dilarang junta tentera daripada dipamerkan.
Badan terikat pada kerusi
Selanjutnya, giliran Aung Myat Htay membuat persembahan. Aung, seniman visual ternama, yang mana pameran solonya pada 2010, dengan judul The Stories (Lantern), berlangsung di muzium seni berprestij Fukuoka Asian Art Museum, Jepun. Dia memberikan kaca mata berbingkai kertas. Warna bingkainya putih, manakala plastik – bukan kaca – mata itu ada bermacam-macam warna.
Khalayak ikut terlibat dalam pertunjukan ini apabila warna pandangan mereka diubah dengan memakai spek mata yang diberikan Aung. Spek mata itu pula tidak seragam, sebaliknya bercitra warna-warninya.Maung Ni Oo, penyair dan penulis seni daripada generasi 88, kemudiannya meletakkan sebuah kerusi kayu, duduk dan mengikat dirinya dengan tali temali yang terikat dengan loceng, dia
membacakan puisinya dalam bahasa Burma, pendek, kemudian menyumbatkan bulp lampu yang di tampal pita pelekat berwarna merah ke dalam mulutnya.
Dia bergerak-gerak menggerakkan badannya yang terikat dengan kerusi, berulang-ulang kali, sehingga ia bergerak dalam jarak kira-kira tujuh meter, dan pertunjukannya pun tamat.
Moe Satt mewakili seniman muda kontemporari Burma hari ini. Lahir pada 20 Julai 1983 di Yangon, Burma. Dia merupakan seniman visual dan pertunjukan, yang terkenal di seluruh litar festival performance art dunia, juga bertanggungjawab menubuh dan menganjurkan festival antarabangsa Beyond Pressure secara tahunan di Yangon, Burma. Malah, untuk tahun ini, Moe merupakan salah seorang kurator undangan di Bhusan Bienalle.
Lengkap, berpakaian tradisional, Moe Satt memulakan permainan interaktif dengan khalayak, suatu pertunjukan ucapan lisan dan gerak. Dengan kapur dia menulis di lantai kaki lima jalan huruf M-Y-A-N-M-A-R. Daripada huruf-huruf itu, orang ramai di minta memberikan makna daripada huruf itu, dan Moe Satt akan menulisnya dengan kapur, menyambungkan tulisan awalnya tadi. Misalnya huruf M untuk Mandalay.
Reza Mukmin (seniman muda Malaysia) pula menyarung kain Long YI (ala kain pelikat) ke dalam kepalanya, mengikat, kemudian bergelut cuba untuk keluar daripada sarungannya sendiri itu. Pendek durasi masanya, tapi mantap dan cukup padat, sepadat pergelutannya sendiri.
Polis datang
Sementara pertunjukan-pertunjukan ini berlangsung, aku masih tercegat berdiri dalam posisi di tangan kini memegang pelita dan di tangan kanan memegang payung, di hadapanku kerusi yang telah direspon khalayak, mereka bersilih ganti duduk di atas kerusi itu. Sudah hampir sejam rasanya acara berlangsung. Tiba-tiba, seniman dan salah seorang penganjur, Suu Myint Thein datang mendekatiku, “Rahmat, you should stop your performance, the police already came” (Rahmat, anda perlu hentikan persembahan anda, polis sudah sampai). Dengan penuh taat, seperti saranan seorang guru, aku menurutinya, memahami keadaan situasi.
Manakala Chelsea Heike pula, menggunakan tikar untuk menyelubungi dirinya, kemudian terus berguling-guling sepanjang kaki lima jalan, sehinggalah Moe Satt membawa pesan kedatangan anggota polis. Chelsea Heike, seniman kelahiran Jerman, warga Amerika Syarikat, kini berkesenian di Malaysia, hadir bersama anak kecil perempuannya, Kalillah yang berusia kurang dua tahun.Ketiga-tiga penganjur, Moe Satt, Maung Ni Oo, Suu Myint Thein terus ditahan dan dibawa ke balai dengan kenderaan polis. Kesemua seniman yang tertinggal, kemudiannya mengambil keputusan berehat. Kami sempat minum jus mangga di warung kaki lima menghadap istana Mandalay.
Kemudian datang lagi anggota polis, dengan kenderaan sewa kami sendiri, kami diiringi anggota polis ke balai polis daerah Mandalay. Di sana, kami dibawa masuk ke pejabat ketua balai. Kesemua pasport kami diminta. Kemudian kami ditanya tentang makna seni pertunjukan kami. Mereka bertanya, apa makna pertunjukan aku yang membawa lampu pelita itu.
“Lampu pelita yang hadirnya dalam kegelapan cukup terang menyuluhi penglihatan mata. Manakala di saat kewujudan jutaan lampu-lampu neon elektrik, atau di saat matahari memancar, sinar lampu pelita tidak bermakna apa-apa.” Begitu ku jelaskan, dengan dibantu Moe Satt sebagai penterjemah, menjawab soalan pegawai polis yang menyiasat. Malah aku turut menambah rujukanku kepada mereka berkenaan sejarah pelita daripada mitologi Greek, Hermit (Pendita).
Mereka cuba mengaitkan pertunjukan-pertunjukan kami dengan protes cahaya yang mula merebak ke seluruh Burma. Pada hari
pertama kami menjejakkan kaki ke Mandalay, tanggal 21 Mei, di sebelah malamnya berlangsung protes besar-besaran menuntut hak kemudahan asas bekalan elektrik.
Bekalan elektrik sering terputus dan tenaga elektrik belum lagi menjadi tenaga dominan menggerakkan teknologi dan penghidupan rakyat Burma hari ini. Selanjutnya, keesokan harinya, protes yang sama mula merebak ke Yangon dan kota-kota lainnya. Waktu itu, beberapa orang aktivis telah ditahan.
Bilik ketua polis
Kemudian, kami dibawa ke ibu pejabat polis negeri Mandalay pula. Kami ditempatkan di dalam sebuah bilik mesyuarat di bangunan dua tingkat pejabat polis itu. Meski bertingkap, tetapi bahang cuaca Mandalay yang panas menyebabkan kami cepat kering dan dahaga. Anak kecil Chelsea, mula mendapat ruam dan menangis.
Kami dibiarkan menunggu di dalam bilik itu, tanpa diberitahu apa sebabnya kami perlu berada di situ. Sementara itu, tiga penganjur sedang disoal siasat di bilik Ketua Polis Mandalay. Pasukan Imigresen juga telah tiba. Kami kemudiannya diarahkan mengisi borang mengandungi maklumat diri dan dokumen perjalanan, nombor pasport, jantina, tempat pasport dikeluarkan, alamat dan lain-lain lagi.
Seterusnya, kami dipanggil seorang demi seorang ke dalam bilik ketua polis. Moe Satt bertindak sebagai penterjemah. Di dalam kamar. Aku dikelilingi ramai pegawai seragam polis dan imigresen. Mereka mengambil fotoku, dan bertanyakan sekali lagi makna pertunjukanku.
Setelah beberapa jam ditahan, kami pun dibebaskan pada sebelah petangnya, dan pasport kami dipulangkan. Mengikut jadual penerbangan, kami memang akan balik ke Malaysia pada Sabtu 12 tengahari, penerbangan pesawat MAS MH741 ke KLIA. Kami juga telah membeli tiket pulang ke Yangon dari Mandalay, bertolak jam 9.30 malam.
Pada hari Jumaat, 25 Mei 2012, seharian kami berjalan ke luar kota Mandalay, ke pagoda-pagoda dan kuil-kuil kuno. Sewaktu kami di sebuah binaan kuno bernama Pagoda Tujuh Petala Langit dan Laut, pasukan imigresen tiba. Kami disuruh pulang segera ke hotel, diiringi pasukan imigresen ini. Setibanya di hotel, anggota imigresen dan polis telah ramai.Para seniman Malaysia, diberitahu bahawa kami dideportasi – dihalau keluar dari Burma! Kami menaiki van yang disewa khas oleh pihak imigresen, meski disewa khas, ia tanpa penghawa dingin.
Perjalanan antara Mandalay ke Yangon, yang biasanya mengambil masa lapan hingga 10 jam, menjadi 12 jam. Kami bertolak sekitar jam 4 petang. Perlahan dan lama pula berhentinya. Sementara para seniman Burma yang di Mandalay tadi pula diiringi anggota polis ke stesen bas untuk menaiki bas jam 9.30 malam ke Yangon. Kami dipisahkan. Cuma Moe Satt sahaja yang dibenarkan mengikut kami kerana dia bertindak sebagai penterjemah.
Pasport bercop deportee
Kami tiba di Yangon, pada kira-kira jam 4 pagi. Permintaan untuk penginapan hotel ditolak para pegawai pengiring. Kemudian kami dibawa bersarapan dekat dengan lapangan terbang Yangon. Seterusnya, selesai bersarapan di warung, kami dibawa ke daerah berdekatan lapangan terbang, ke sebuah kampung, ke sebuah pejabat yang tidak tahu di mana letak duduknya.
Kami disuruh menunggu di situ sehinggalah sampai waktu check in, jam 10 pagi nanti. Kami tidak diberikan makan dan minum, tetapi dibenarkan pergi ke warung berseberangan pejabat imigresen tersebut. Kami juga tidak dibenarkan menggunakan tandas untuk mandi.
Kalillah, anak Chelsea mula meragam dan badannya meruam. Pihak berkuasa tidak mahu kami, seniman Malaysia, menemui para seniman dan wartawan di Yangon. Wong Eng Leong dan Kyl Mohammad, dua orang seniman Malaysia yang hadir tetapi tidak membuat pertunjukan, turut dideportasi. Malah pihak polis dan imigresen mengarahkan mereka memadamkan gambar, foto atau video yang dirakamkan mereka.
Jam 10 pagi, kami dibawa ke lapangan terbang yang jaraknya kira-kira 15 minit sahaja dari tempat ‘rehat’ (atau tahanan) kami tadi. Sampai di pintu masuk, kami cuma sempat bersalaman dengan para seniman Burma yang ikut hadir ke lapangan terbang, Ma Ei, Nge Lay, Suu Myint Thein dan Aung Myat Htay.
Moe Satt hanya mengiringi kami sehingga ke pintu imigresen. Kami pun berpisah. Sementara pasport kami, masih dipegang pihak berkuasa Myanmar. Masuk ke kapal terbang, kakitangan MAS pula yang memegang pasport kami. Sampai di KLIA, pasport kami masih dipegang kakitangan MAS di kaunter MAS, KLIA.
Setelah bertengkar dan marah-marah, akhirnya pasport kami diberikan. Hujah kami, jikalau mahu memegang pasport setelah sampai ke KLIA, yang berkuasa melakukannya ialah pegawai
imigresen dan polis Malaysia, bukan kakitangan MAS yang berlagak menjadi seperti agen junta Myanmar!
Kami seniman Malaysia, telah selamat. Malah berbangga, kerana seperti pelakon The Lady, Michelle Yeoh, pasport kami juga bercop deportee. Besok tanggal 30 Mei 2012, seniman/penganjur Moe Satt, Maung Ni Oo, Suu Myint Thint dan seniman Burma Aung Myat Htay dan Lwin Maung, akan dihadapkan ke mahkamah kerana menganjurkan
acara seni pertunjukan (public performance art) tanpa kebenaran pihak berkuasa menurut undang-undang No. 11, Akta Polis Myanmar.
Jika sabit kesalahan ia boleh membawa hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali, maksimum tiga tahun penjara.
Burma merdeka yang demokratik daripada cengkaman kuku besi, masih lagi jauh kelihatannya. Inilah musim peralihan, kering tandus, musim panas kegersangan. Rejim transisi tidak boleh berpatah balik, Aung San Suu Kyi perlu terus maju, generasi kebangkitan mahasiswa tahun 88 meski menongkah arus musim hujan dan bertahan dalam hembusan angin musim dingin.