Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nizar mohon maaf isu bidaan WWW1
Diterbitkan:  May 30, 2012 10:19 AM
Dikemaskini: 12:46 PM

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memohon maaf berhubung mesej Twitternya berkaitan isu bidaan nombor pendaftaran WWW1 yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

NONE Beliau berkata, apa yang dinyatakan dalam laman Twitternya itu tidak bermaksud untuk mempertikaikan keputusan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail yang menawarkan bidaan tertinggi sebanyak RM520,000.

Sebaliknya, kata beliau, kenyataan itu dibuat secara umum atas pandangan seorang rakyat.

“Jika ada yang menuduh saya menghina Sultan, itu sudah keterlaluan, kerana saya tiada niat untuk berbuat demikian," lapor akhbar Sinar Harian yang menghubungi beliau semalam.

“Itu hanya pandangan saya sebagai rakyat biasa yang melihat senario di negara ini bahawa masih ramai yang hidup dalam kesempitan dan memerlukan perhatian,” tambahnya

Nizar memohon maaf melalui mesej Twitter berbunyi:  "Jika ada mana-mana pihak yang tergores hati dengan mesej Twitter itu, saya mohon maaf".

“Itu hanya pandangan saya sebagai rakyat biasa yang melihat senario di negara ini bahawa masih ramai yang hidup dalam kesempitan dan memerlukan perhatian,” katanya kepada Sinar Harian.

azlan Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak berkata, dalam hal itu, teguran sama tetap akan diberikan beliau kepada lain-lain pemimpin.

“Mungkin kerana bidaan tertinggi dibuat Baginda Tuanku, jadi orang katakan tindakan saya itu cuba menghina Sultan, sedangkan bukan itu maksud saya,” katanya.

Sebelum ini, Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim bertitah menerusi mesej Twitternya, mempertahankan pembidaan nombor pendaftaran WWW 1 oleh ayahanda baginda Sultan Johor sambil menegaskan, kerabat diraja Johor tidak mengambil sebarang wang daripada kerajaan.

Baginda juga bertitah bahawa pihak-pihak yang mempertikaikan perkara itu boleh bertanya kepada Menteri Besar Johor ataupun mana-mana pegawai-pegawai Kerajaan Negeri.

ADS