Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Menteri bersilat lidah dalam isu K-pop'
Diterbitkan:  Jun 2, 2012 4:21 PM
Dikemaskini: 8:22 AM

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Shabery Cheek cuba berdolak-dalih dalam isu perbelanjaan sejumlah besar wang kepada kumpulan pop Korea yang membuat persembahan pada sambutan Hari Belia Negara 2012, kata Pemuda PAS.

"Menteri bersilat lidah untuk menangkis tanggapan buruk terhadap Kementerian Belia dan Sukan (KBS)," kata ketua penerangan dewan itu Riduan Mohd Nor.

Beliau juga menuntut KBS menjelaskan segera jumlah sebenar wang kerajaan dan jumlah ditaja untuk persembahan tiga kumpulan Korea itu.

Malaysiakini semalam melaporkan Shabery, tanpa mengesahkan jumlah perbelanjaan sebenar, berkata, bayaran besar kepada artis pop Korea bukan isu jika ia ditaja.

Dakwaan bayaran RM2.04 juta itu muncul apabila terdapat blog menyiarkan surat yang didakwa dari penganjur program Hari Belia Negara kepada KBS, antaranya mengandungi butiran perbelanjaan.

'Hiburan selera murahan'

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Riduan berkata, jika pun benar bayaran untuk persembahan itu datangnya dari penajaan, KBS sepatutnya menyalurkan wang itu untuk program yang bermanfaat kepada rakyat.

"Sepatutnya wang tajaan digunakan untuk rakyat. Tetapi kini kita lihat hiburan berbentuk selera murahan disajikan untuk belia negara kita.

"Adakah ini budaya yang kita ingin tinggalkan untuk belia kita?" soal Riduan.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan Ketua Setiausaha KBS Datuk Mohid Mohamed sebagai berkata, kos membawa kumpulan itu oleh Stadium First Sdn Bhd (Stadium First) berjumlah RM900,000 (AS$300,000), dibayar menggunakan wang penajaan untuk konsert berkenaan.

"Bagaimanapun, sehingga hari ini, KBS masih belum membuat sebarang pembayaran kepada Stadium First kerana ia masih dalam proses perincian.

"Kos RM900,000 ini ditanggung oleh Stadium First selaku pembekal program kepada KBS dan kita akan menggunakan wang daripada tajaan pihak swasta untuk menyelesaikannya," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Agensi berita nasional juga melaporkan, KBS menerima tajaan berjumlah RM28 juta daripada syarikat swasta dalam bentuk wang tunai, barangan dan pelaksanaan pelbagai program.

"Kementerian ingin menjelaskan bahawa invois bernilai RM2.4 juta yang didedahkan dalam laman blog adalah invois awal yang dibuat berdasarkan kepada perkiraan awal yang dikeluarkan oleh ejen kepada Stadium First," beliau dipetik sebagai berkata.

ADS