Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memandang serius isu lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) dalam kalangan umat Islam di negara ini dan telah mengatur pelbagai program untuk mendekati golongan itu.

Timbalan Ketua Pengarah Jakim (Dasar), Mohamad Nordin Ibrahim berkata isu LGBT merupakan masalah universal yang bukan sahaja melibatkan umat Islam malah penganut agama lain dan memerlukan perhatian daripada pelbagai pihak.

"Bagi Jakim sendiri, kita telah memulakan usaha untuk mendekati mereka terutama golongan transgender.

"Tahun lepas kita berjaya mengadakan enam program mukhayyam (perkhemahan) bersama mak nyah yang menampakkan perkembangan positif sehingga ada kalangan mereka kini mulai mendekati agama termasuk menunaikan umrah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perasmian persidangan Pegawai Tadbir Agama Daerah (PTAD) peringkat kebangsaan yang diadakan sempena majlis Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan ke-55 di Johor Bahru.

Majlis perasmian itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman. Turut hadir Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha.

Mohamad Nordin berkata berdasarkan kesan dan sambutan menggalakkan, Jakim akan terus mengadakan program seumpama itu bagi mendekati golongan tersebut.

Selain itu, beliau berkata institusi keluarga juga perlu memainkan peranan untuk mencegah masalah tersebut daripada terus menjangkiti masyarakat Islam.

"Ini kerana pada masa kini golongan Y terutama kalangan belia berhadapan dengan cabaran di alam maya yang mana mereka terdedah dengan pelbagai maklumat negatif yang boleh mempengaruhi mereka," katanya.

Sementara itu, Othman dalam ucapannya pada majlis itu turut menggesa PTAD agar sama-sama memainkan peranan dalam menangani masalah itu daripada menjadi penyakit kepada masyarakat.

"Semakin hari tugasan kita semakin luas dan mencabar terutama masalah penyelewengan akidah dan kita bertanggungjawab untuk mengelak penularan fahaman ini dengan menanam kekuatan akidah," katanya.

- Bernama

ADS