Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Faekah dakwa Noh 'buta demokrasi'
Diterbitkan:  Jun 6, 2012 3:43 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Kenyataan Timbalan Ketua Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang mempertikaikan program 'Selangorku Bersih' membuktikan ahli Parlimen Tanjong Karang itu buta demokrasi  kerana tidak menghormati hak rakyat negara ini untuk mendapat pilihan raya yang adil dan bebas, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.

NONE Malaysia, katanya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan

demokrasi,  melindungi rakyatnya untuk membuat pilihan menerusi sistem pilihanraya setiap lima tahun sekali.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberi tanggungjawab untuk memastikan pilihan raya di negara ini dilaksanakan secara bersih dan telus. Ini termasuk memastikan Malaysia mempunyai daftar pemilih yang tepat dan bersih," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, selepas tsunami politik pada 2008, telah berlaku banyak perubahan terhadap senario politik negara termasuk di Selangor.

"Antaranya peningkatan luar biasa jumlah pengundi baru yang apabila dilihat dengan mata kasar, agak tidak seimbang dengan jumlah penduduk terutama di kawasan-kawasan tertentu. Lebih mengejutkan ialah apabila semalam  SPR mengumumkan terdapat pengundi baharu di Selangor seramai 600,000 orang.

"Meskipun Kerajaan Selangor menganggap daftar pemilih yang dikeluarkan SPR seharusnya sahih dan betul,  namun lonjakan pengundi baharu agak membuka mata," tambahnya.

Justeru, tegas Faekah, sebagai sebuah kerajaan negeri yang sah, maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Selangor untuk memastikan bahawa nama-nama yang tertera dalam daftar tersebut benar-benar rakyat yang bermastautin di negeri ni.

Program 'Selangorku Bersih', jelasnya, dilancarkan untuk maksud tersebut - membantu SPR dalam memastikan Selangor mempunyai daftar pemilih yang bersih, sekaligus menolak sebarang andaian negatif terhadap SPR di atas lonjakan pengundi tersebut.

"Kita gerakkan semua JKKK, Ketua Kampung dan Penghulu untuk memeriksa senarai pengundi baru di seluruh Selangor untuk memastikan nama-nama yang didaftarkan ini, benar-benar wujud dan bukannya pengundi hantu seperti yang didakwa banyak pihak," tambahnya.

Sehubungan itu, tegasnya, tindakan Noh meminta rakyat Selangor supaya tidak melayan JKKK, ketua kampung dan penghulu ketika menjalankan pemeriksaan, adalah tindakan yang benar-benar mengecewakan negara ini.

Faekah berkata, ketua kampung dan penghulu adalah individu yang dilantik kerajaan negeri secara sah dan mempunyai hak untuk menjaga keselamatan kampung dari anasir luar termasuk pengundi yang tidak sepatutnya berada di Selangor.

Sebaliknya, tegasnya, Noh sepatutnya menyokong sebarang usaha untuk mewujudkan satu pilihan raya yang bersih, adil dan telus. [Baca berita penuh]

Sementara itu, bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata SPR sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan negeri Selangor untuk membersihkan daftar pemilih untuk mereka.

Sebaliknya, tegas beliau, SPR mempertahankan daftar pemilih yang menurut Pua tidak bersih, sambil bertanya "jika daftar pemilih bersih, mengapa mereka begitu takut dengan usaha kita untuk membersihkannya?".

Pua berkata demikian sebagai mengulas nasihat Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar kepada pengundi berhubung kempen 'Selangorku Bersih' itu.

Wan Ahmad dilaporkan berkata orang ramai mempunyai hak untuk memutuskan sama ada atau tidak mereka mahu menunjukkan MyKad mereka kepada pekerja kempen tersebut, dan menasihatkan mereka supaya jangan terlalu mudah penyerahan dokumen tersebut.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS