Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM cadang kabinet beri lagi bantuan BR1M
Diterbitkan:  Jun 7, 2012 1:43 PM
Dikemaskini: 11:05 AM

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mencadangkan kepada kabinet semalam supaya kerajaan memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kedua kepada rakyat.

Beliau berkata perkara itu dibincangkan jemaah menteri dengan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya beritahu perdana menteri, kalau ada duit lebih sikit, kita buat sekali lagilah (pemberian BR1M)," katanya ketika berucap pada majlis mesra rakyat sempena sambutan Ulang Tahun Ke-100 Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa di Kuala Selangor, hari ini.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Muhyiddin berkata pemberian BR1M kedua itu hanya boleh diputuskan Najib.

"Perkara itu terserah kepada perdana menteri, kalau bermurah hati dan ada lebihan sumber kewangan.

"Perkara ini pernah dibangkitkan oleh anggota-anggota Parlimen, senator dan pemimpin-pemimpin tempatan yang memberi maklum balas bahawa langkah begini adalah terbaik dalam membantu ringankan beban hidup rakyat.

"Jadi, pandangan ini kita sampaikan kepada Perdana Menteri," katanya pada sidang berita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama warga Gombak anjuran Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Daerah Gombak di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati hari ini.

Beliau berkata kerajaan BN telah membelanjakan lebih RM2 bilion untuk mengagihkan BR1M kepada 4.7 juta isi rumah.

Tahun ini, kerajaan Persekutuan memberi bantuan RM500 kepada setiap isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah bagi meringankan bebanan mereka menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat di Malaysia.

Selain BR1M, kerajaan juga memberi bantuan Baucar Buku 1Malaysia RM200 dan bantuan awal persekolahan RM100 untuk pelajar sekolah yang memanfaatkan 1.3 juta penuntut universiti dan tingkatan enam serta 5.3 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

- Bernama

ADS