Penyelesaian jangka panjang untuk merealisasikan pendidikan tinggi percuma di Selangor boleh dijalankan melalui projek perintis yang dimasukkan dalam belanjawan negeri, kata PKR.
"RM30 juta itu hanyalah dana sementara sekarang.
"Kalau orang tanya lepas itu macam mana, kalau ada sistem perintis pendidikan percuma di Selangor dalam belanjawan seterusnya, kerajaan negeri boleh peruntukan berapa setiap tahun yang diperlukan.
Dan ini boleh dimasukkan dalam belanjawan seterusnya," kata pengarah strateginya Rafizi Ramli.
Katanya, kerajaan Selangor telah ‘lulus' ujian yang dilakukan oleh kerajaan Pusat berhubung isu pembekuan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada Universiti Selangor (Unisel) minggu lalu.
Sehubungan itu, Rafizi yang juga ketua eksekutif di pejabat penasihat ekonomi Selangor berkata, cadangan asal untuk menubuhkan dana bagi membantu siswa berkenaan akan diteruskan.
"Saya rasa mereka (BN) tersalah kira. Mereka tak sangka bahawa kita sanggup peruntukan wang secepat itu. BN anggap kita tak ada jawapan. Mereka terlupa yang Tan Sri Khalid (Ibrahim) ini tokoh korporat. Dia tahu macam mana nak mencarikan aset."Saya juga bertanya pada Tan Sri Khalid sehari selepas pengumuman PTPTN, (adakah) duit tetap ada dan akan digunakan. Beliau berkata ‘ya, duit akan tetap ada," kata Rafizi dalam satu temubual di saluran atas talian Radio Bangsar Utama malam tadi.
Selain itu, ketika ditanya adakah jumlah RM30 juta mencukupi, Rafizi menjelaskan, jumlah wang itu cukup untuk digunakan pada dua buah institusi pengajian tinggi.
Katanya, sehingga akhir tahun, berdasarkan perkiraan bagi semester seterusnya, RM30 juta akan dibahagi dua iaitu RM15 juta kepada Unisel manakala selebihnya kepada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
Pada 5 Jun lalu, Malaysiakini mendedahkan, permohonan siswa baru Unisel bagi mendapatkan pinjaman melalui PTPTN telah dibekukan.
Ekoran itu, kerajaan Selangor mengumumkan tindakan jangka pendek dengan mengapungkan hartanah Unisel yang dianggarkan bernilai RM30 juta bagi membantu membiayai mahasiswanya.
Pembekuan itu bagaimanapun ditarik balik pada 8 Jun ekoran surat arahan daripada pejabat menteri berkaitan.