Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua pengarah eksekutif di pejabat penasihat ekonomi Selangor, Rafizi Ramli berkata Perbadanan Menteri Besar (MBI) boleh menyalurkan sebahagian daripada dana pendidikan percuma RM30 juta kepada Unisel secara pemindahan antara syarikat.

Katanya, MBI boleh berbuat demikian dengan memberikan pendahuluan pinjaman kepada Unisel yang merupakan salah satu anak syarikat perbadanan tersebut.

"Apa yang disampaikan kepada saya oleh menteri besar, (dana) akan (disalurkan secara) pemindahan antara syarikat," katanya ketika ditemui selepas satu program ceramah di Pandan, Selangor pada malam tadi.

Beliau menjelaskan langkah kerajaan Selangor untuk menyalurkan jumlah berkenaan dengan mencairkan aset tanah 500 ekar yang sebahagiannya milik Unisel itu.

Oleh itu tanah yang sebahagiannya milik Unisel itu bukanlah dijual terus, katanya lagi yang menambah  bahawa tindakan itu hanyalah langkah awal untuk memberi pendidikan percuma di negeri itu.

"Dalam belanjawan akan datang kita akan tambah lagi," katanya yang menambah, jumlah RM30 juta itu hanya dapat bertahan untuk tempoh kira-kira setahun.

Tambahnya, Kolej Universiti Islam Selangor tidak berhak untuk mendapatkan dana berkenaan secara pemindahan antara syarikat kerana ia tidak dimiliki MBI.

Dalam satu wawancara dengan Radio Bangsar Utama pada Isnin lalu, Rafizi berkata jumlah RM30 juta itu akan dibahagikan antara Unisel dan KUIS.

Tindakan itu diambil sebagai langkah sementara apabila Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membekukan pinjaman untuk siswa institut berkenaan.

Pembekuan pinjaman itu disifatkan menteri pengajian tinggi Datuk Seri Khaled Nordin sebagai ujian kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang ingin memansuhkan PTPTN dan memberi pendidikan percuma apabila menang pilihan raya.

Pembekuan itu bagaimanapun dibatalkan selepas menteri besar mengumumkan dana RM30 juta untuk membantu siswa yang terjejas dengan pembekuan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS