Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
CEO baru AirAsia M'sia ikrar kekal kuasai pasaran domestik

Ketua Pegawai Eksekutif baru syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia, bagi operasi Malaysia, Aireen Omar, 38,

berhasrat untuk mengekalkan agihan pasaran domestik sebanyak 60 peratus yang dikuasai syarikat itu.

    

"Saya tahu saya berhadapan dengan tugas berat untuk mengekalkan prestasi tinggi ini, tetapi saya percaya dapat mencapai sasaran itu. Semua orang boleh membuat penerbangan, bukan hanya sekarang, tetapi selama-lamanya.

    

NONE "Kami menguasai 60 peratus pasaran domestik dan 40 peratus agihan pasaran antarabangsa. Kami berhasrat mengekalkannya dan mengembangkannya lagi," katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia bagi operasi di Malaysia.

    

Aireen berkata AirAsia Malaysia akan terus bersikap kreatif dan inovatif.

Kata beliau, mengekalkan kedudukan peneraju pasaran, disiplin kos dan meningkatkan pendapatan adalah antara cabaran yang mengiringi jawatan itu.  

    

Aireen, bekas Ketua Kewangan Korporat Serantau AirAsia, Perbendaharaan dan Hubungan Pelabur, menggantikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes, yang akan berpindah ke Jakarta untuk memantau rancangan peluasan syarikat penerbangan itu di rantau Asean, berkuatkuasa 1 Julai.

AirAsia telah menubuhkan sebuah pejabat rantau Asean di Jakarta, AirAsia Asean.

    

Fernandes berkata sudah jelas bahawa ketika AirAsia melangkah ke dekad keduanya, perlu ada anjakan besar dari segi perspektif, strategi dan operasi kumpulan, untuk mengekalkan trajektorinya.

    

"Beliau (Aireen) mungkin kelihatan lembut, tetapi beliau agresif, kuat macam saya tetapi dengan pendekatan yang berbeza. Jangan tertipu dengan rupa luarannya," kata beliau.

    

Menurut Fernandes, Aireen akan bertanggungjawab secara terus kepada beliau.

    

Sementara itu, pengasas bersama AirAsia, Kamarudin Meranun, berkata Aireen memastikan AirAsia mencatatkan prestasi tinggi semasa krisis kredit.

   

 "Meskipun syarikat penerbangan lain menghadapi masalah apabila mereka gagal mendapatkan sebarang pembiayaan, Aireen berjaya mendapatkan pembiayaan pada kadar yang sangat berdaya saing untuk membeli pesawat bagi AirAsia," tegasnya.

Sementara itu, Fernandes yakin terhadap operasi Aseannya dapat mengekalkan potensi pertumbuhan antara 400 dan 500 peratus.

"Andaikan Malaysia membuat RM1 bilion dan kita tidak mengumpul jumlah itu. Jika saya boleh mengutip masing-masing RM1 bilion di Indonesia, Thailand, Filipina dan Jepun, kami akan bermula mula dari RM1 bilion hingga RM4 bilion.

    

"Oleh itu, jika kami berjaya, negara-negara ini berpotensi membuat 400 hingga 500 peratus lebih.

    

"Dorongannya ialah berusaha untuk membuat keuntungan di negara yang kumpulan itu tidak menjana sebanyak Malaysia, dan saya percaya kami boleh lakukannya dengan penekanan yang betul dan usaha yang tepat," katanya.

Beliau berkata AirAsia memulakan dekad keduanya dengan pejabat baru serantau di Jakarta, Indonesia yang akan memberi tumpuan terhadap peluasan kumpulan, dengan lebih banyak usaha sama di Asean.

    

Fernandes berkata kumpulan itu perlu mempunyai unjuran serantau yang lebih luas berdasarkan potensi besar pasaran yang belum diberikan perkhidmatan, yang mengandungi tiga bilion penduduk di Asean, Timur Laut Asia dan Asia Selatan.

    

Beliau berkata menerusi seramai 20 petugas di Jakarta yang akan diketuainya sendiri, AirAsia Asean akan menyediakan persekitaran bebas daripada tekanan operasi harian.

    

Ditanya sama ada ia merupakan masa yang tepat untuk penstrukturan semula, Fernandes berkata AirAsia sentiasa memanfaatkan kelembapan ekonomi dan ia merupakan peluang yang ideal untuk berkembang.

    

Kumpulan itu berharap pejabat Jakarta dapat membolehkannya meneroka pasaran domestik Indonesia yang besar dan menaikkan profil AirAsia Indonesia sebelum disenaraikan di Bursa Saham Jakarta pada suku pertama 2013, katanya.

    

"Sebenarnya ia bukan penangguhan ke tahun 2013, tapi kami memberikan ruang memandangkan kami sudah selesai di Thailand dan penyenaraian lain, terutama  AirAsia X di bursa tempatan yang dijangkakan pada Oktober atau  November tahun ini," katanya.

    

Tawaran awam permulaan AirAsia Thailand menyaksikan permintaan kukuh sahamnnya dan Fernandes berkata proses penyenaraian AirAsia Indonesia berjalan lancar.

- Bernama

ADS