Sultan Perak tak pernah keluar watikah 'ahli diraja'

Pejabat Sultan Perak mengesahkan bahawa Sultan Azlan Shah tidak pernah mengeluarkan watikah atau surat kuasa kepada mana-mana pihak atau individu bagi membolehkan mereka memberi sijil keahlian 'Ahli Diraja'.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abdul Puhat Mat Nayan berkata oleh yang demikian pengeluaran lencana menggunakan lambang negeri Perak dan keanggotaan Ahli Diraja seperti yang dilaporkan oleh akhbar pada 8 Jun lepas adalah satu perbuatan yang salah di sisi undang-undang dan melanggar Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Penggunaan Yang Tidak Betul) 1966.
    
"Adalah dengan ini ditegaskan bahawa pihak berkuasa negeri Perak tidak pernah pada bila-bila masa memberi sebarang kebenaran secara bertulis kepada mana-mana pihak atau individu untuk mengeluarkan sijil keahlian Ahli Diraja," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.
    
Katanya Enakmen itu secara jelas menggariskan kawal selia berkaitan jata, panji-panji, cap mohor rasmi Sultan Perak, cap mohor kerajaan negeri, jata kerajaan, darjah kebesaran, lambang, pingat dan lencana yang diperkenankan oleh Sultan Perak, tidak boleh digunakan oleh sesiapa kecuali diberikan kebenaran secara bertulis oleh pihak berkuasa negeri Perak.
    
Katanya orang awam dinasihatkan supaya tidak terpedaya untuk membeli atau memperoleh keahlian Ahli Diraja yang ditawarkan dan dijanjikan oleh mana-mana pihak sekalipun.
    
Orang awam yang telah terpedaya dengan perbuatan terbabit atau didampingi oleh mana-mana pihak dengan menawarkan mereka untuk menjadi Ahli Diraja supaya tampil  membuat laporan polis supaya siasatan berhubung perkara itu dapat dijalankan, katanya.
    
Abdul Puhat berkata pihaknya juga telah membuat laporan polis berhubung perkara itu pada 8 dan 9 Jun lepas.
    
Katanya laporan akhbar mendakwa kegiatan menjual lambang kereta itu turut disertakan dengan jaminan sesiapa yang memiliki watikah dan lambang berkenaan diberi jaminan  perlindungan atau imuniti daripada pihak penguatkuasa undang-undang jika melakukan kesalahan lalulintas serta diskaun caj penginapan hotel.
    
Beliau berkata berdasarkan laporan akhbar terdapat dua pihak yang
mengeluarkan keahlian Ahli Diraja berkenaan.
    
Pada 8 Jun lepas, akhbar melaporkan terdapat pihak yang didakwa menjual dan mengeluarkan lambang kereta mengandungi lambang negeri Perak dan keahlian Ahli Diraja kepada orang awam.    

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.